suria

300 Petugas Di Bangunan LHDN Di Kg Attap Gempar 'Panggilan Bom'

KUALA LUMPUR: Kira-kira 300 petugas di bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kuala Lumpur, Kampung Attap di sini digemparkan hari ini dengan panggilan mengenai "lima butir bom" akan diletupkan.

Panggilan tersebut diterima oleh seorang operator telefon LHDN kira-kira pukul 9.30 pagi mengakibatkan petugas di bangunan bergegas mengosongkan bangunan setinggi 21 tingkat itu.

Seorang pekerja Kumpulan Wang Simpanan Guru yang ditempatkan di bangunan berkenaan, Aishah Salim berkata, beliau difahamkan operator telefon tersebut menerima panggilan yang mengatakan terdapat bom dalam salah satu pejabat LHDN di bangunan itu yang akan meletup pukul 10.30 pagi.

"(Lelaki) Pemanggil tersebut mengatakan beliau tidak suka LHDN dan akan meletupkan pejabat LHDN yang terletak di tingkat 20 dan 21," kata Aishah, 40, kepada pemberita. Ekoran itu, pihak pengurusan bangunan terus mengarahkan bangunan dikosongkan sebelum menghubungi pihak polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata polis menerima maklumat mengenai bom itu daripada seorang pegawai keselamatan bangunan tersebut pukul 10.11 pagi sebelum menghantar unit bom ke tempat kejadian.

"Unit bom telah membuat 'flushing' di tempat kejadian dan kita juga arahkan semua staf untuk meninggalkan bangunan tersebut.

"Siasatan di tempat kejadian kemudiannya tidak menjumpai apa-apa yang disyaki dan pekerja dibenarkan memasuki bangunan semula," katanya dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain