suria

BN Sabah Jelaskan Isu Tanah Adat Di DUN

PENAMPANG: Kerajaan Barisan Nasional (BN) Sabah akan memperjelaskan secara terperinci isu berkaitan orang asal dan tanah adat dalam sidang Dewan Undangan Negeri pada 22 Oktober ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata penjelasan itu penting supaya pembangkang tidak sewenang-wenangnya dapat menggunakan isu itu untuk memutar-belit, mengelirukan dan mengaburi mata rakyat.

Misalnya, katanya, kerajaan negeri telah memberhentikan persempadanan semula hutan simpanan kerana didapati wujud percanggahan dengan tuntutan tanah adat tersebut.

Musa berkata kerajaan negeri telah mengambil pendekatan menukar status tanah hutan simpanan kepada tanah milik kerajaan supaya penduduk pribumi yang tinggal di kawasan itu untuk sekian lama diberi geran komunal.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah Bangunan Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri dan perasmian jambatan Inobong berharga RM9.05 juta di Padang Pagansakan, Inobong, dekat sini, Sabtu.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Oleh itu, beliau berkata isu merampas tanah adat tidak wujud sama sekali.

Musa berkata terdapat golongan tertentu yang suka mensensasikan isu berkaitan orang asal dan tanah adat semata-mata meraih sokongan rakyat.

Musa, yang juga Menteri Kewangan Negeri, berkata daerah Penampang tidak pernah ketinggalan daripada menerima peruntukan pembangunan sama ada dari kerajaan negeri mahupun kerajaan Pusat.

"Berjuta-juta ringgit diperuntukkan untuk daerah Penampang antara lain bagi menaik taraf kemudahan awam serta pembinaan rumah rakyat termiskin iaitu Program Bantuan Rumah (PBR)," katanya.

Beliau berkata Penampang juga bakal mempunyai sebuah kompleks membeli-belah dengan kemudahan pusat konvensyen iaitu sebuah projek komersial bernilai RM300 juta yang dinamakan Pusat Komersial dan Teknoloji Antarabangsa (ITCC).

Selain itu, katanya, pembinaan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dengan kos RM550 juta di bandaraya Kota Kinabalu bakal menjadi negeri itu sebagai pusat mesyuarat, insentif, kovensyen dan pameran (MICE) terkemuka di rantau itu.

"Ia dapat menyediakan banyak peluang pekerjaan dan ekonomi rakyat Sabah," tambahnya. BERNAMA

Artikel Lain