suria

Retak Tempurung Kepala Akibat Curi Motosikal

KUALA TERENGGANU: Gara-gara mencuri motosikal milik seorang kontraktor, seorang penganggur menerima padah retak tempurung kepala setelah dibelasah pemilik kenderaan itu dan orang ramai dalam kejadian dua hari lalu di Chendering di sini.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, kontraktor yang berusia 48 tahun itu berada di kediamannya di Batu Buruk, di sini telah dikejutkan dengan makluman anak saudaranya yang telah terlihat dua lelaki menaiki motosikal miliknya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata mangsa kemudiannya terus ke anjung rumah untuk melihat motosikalnya, namun ianya telah tiada.

Serentak itu juga, mangsa serta anak saudaranya memulakan gerakan memburu suspek berkenaan yang melarikan diri menghala ke arah Chendering.

"Ketika memburu suspek, mangsa ternampak motorsikal Yamaha Nouvo miliknya ditunggang oleh seorang lelaki di persimpangan lampu isyarat Masjid Tengku Tengah Zaharah, di sini.

"Mangsa bertindak mengekori dan berjaya menahan suspek di persimpangan lampu isyarat Chendering di mana telah berlaku pergelutan sebelum mangsa berjaya merampas motosikal miliknya," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Manoharan berkata akibat pergelutan itu, suspek yang berusia 27 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan beberapa anggota badan yang lain sebelum dibawa ke Balai Polis Chendering yang kebetulan berada berhampiran dari lokasi kejadian itu.

Katanya suspek yang berasal dari Marang itu di hantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk menerima rawatan dan kini masih dirawat dan keadaannya dilaporkan stabil.

Beliau berkata suspek juga turut mempuyai rekod jenayah lampau dan baru keluar penjara tahun lepas atas kesalahan yang sama serta hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Suspek kini direman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut dan kes disiasat dibawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain