suria

PPP Intai Dua Kerusi Gerakan

KUALA LUMPUR: Parti Progresif Penduduk (PPP) sedang mengintai peluang untuk meletakkan calon di dua kerusi, yang diharap akan dilepas Gerakan, pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Presiden PPP Datuk M. Kayveas berkata dua kerusi itu ialah Parlimen Simpang Renggam di Johor dan Parlimen Gerik di Perak, yang mana mengikut persefahaman pada pilihan raya umum lepas, Gerakan bertanding di kedua-dua kawasan hanya untuk satu penggal.

Parlimen Simpang Ranggam disandang Liang Teck Meng manakala Parlimen Gerik oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Tan Lian Hoe.

"PPP secara rasmi telah menyerahkan semula kerusi Taiping kepada Gerakan setelah saya bertanding di situ pada 2004 dan 2008, tetapi kita tidak tahu sama ada kerusi Simpang Renggam atau Gerik akan diserahkan kepada kita atau tidak.

"Kita tidak boleh ada 'wishlist'. Kalau kita dapat salah satu kerusi, banyak kemungkinan untuk saya sendiri yang bertanding," katanya kepada pemberita sebelum mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PPP pada Sabtu.

Kayveas berkata walau bagaimanapun, pihaknya menyerahkan penentuan kerusi kepada kebijaksanaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memandangkan landskap politik negara sudah banyak berubah sejak 'tsunami politik 2008'.

"PPP bersikap terbuka dalam soal pembahagian kerusi Barisan Nasional (BN) pada PRU-13 dan akur penentuan kerusi tidak lagi dibuat mengikut tradisi... tiada masalah, kita perlu sesuaikan mengikut keadaan semasa," katanya.

Beliau berkata PPP mahu mengekalkan permintaan terdahulu iaitu empat kerusi Parlimen dan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRU-13.

"Nampaknya seperti ada peluang, tetapi jika kita tidak peroleh jumlah kerusi yang kita minta, dapat lebih daripada setengah yang kita mahu juga sudah bagus... kita ada peluang untuk dapat lebih kerusi daripada dahulu.

"Kita sudah ada calon di beberapa negeri dan bersedia untuk bertanding dan kita mahu cuba mendapatkan sekurang-kurangnya satu kerusi di setiap negeri," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain