suria

Polis Dapat Petunjuk Baru Kes Bapa Wartawan Ditembak

BUKIT MERTAJAM: Polis mendapat petunjuk baru berhubung kes pembunuhan bapa wartawan akhbar berbahasa Cina di sini pada 21 September lepas.

Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa suspek yang masih bebas dan percaya dapat menahan mereka dalam masa terdekat.

"Kita telah dapat petunjuk baru dan beberapa suspek yang terlibat dalam kejadian itu telah kita kenal pasti dan berdasarkan siasatan juga mendapati mereka terlibat dalam satu kejadian tembak pada tahun 2009," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Beliau berkata siasatan juga mendapati penjenayah menggunakan senjata yang sama dalam kejadian tembak pada tahun 2009 itu untuk membunuh Yeap Cheng Chye, 47, seorang peniaga nasi ayam.

"Mereka adalah orang tempatan dan polis percaya suspek terlibat masih berada di sekitar negeri ini," katanya. Dalam kejadian pukul 11 malam itu, bapa kepada wartawan Guang Ming Daily tersebut maut ditembak di pekarangan pangsapuri Taman Sejahtera Jaya.

Mangsa yang baru pulang daripada berniaga dikatakan ke pangsapuri berkenaan untuk menghantar pinggan mangkuk ke rumah pekerjanya.

Semasa mangsa hendak menyerahkan barangan itu, datang dua lelaki yang menaiki motosikal di mana pemboncengnya telah melepaskan empat das tembakan ke arah Yeap.

Mereka juga melepaskan dua das tembakan kepada pekerja mangsa yang berada di situ yang cuba menyelamatkan diri apabila melihat kejadian tersebut. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain