suria

Penjenayah Rempuh Anggota & Kereta Peronda Polis

KUALA LUMPUR: Seorang penjenayah yang dikehendaki dilaporkan merempuh kereta peronda dan motosikal polis yang cuba menahannya di susur keluar Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dari Puchong ke Subang Jaya awal pagi Sabtu.

Bagaimanapun suspek yang berumur lewat 20-an itu berjaya ditahan dalam kejadian 2 pagi itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd Adnan Abdullah berkata suspek dikehendaki kerana terlibat dalam beberapa kes seperti ugut dan pergaduhan bersenjata di sekitar Lembah Klang.

"Suspek melarikan diri dengan keretanya setelah ditahan oleh dua kereta peronda dan dua motosikal polis untuk tujuan pemeriksaan. "Polis terus mengejar suspek dan turut melepaskan lapan das tembakan yang mana empat das mengenai lengan dan rusuk suspek sementara empat das lagi mengenai kereta suspek, selepas mengejarnya sejauh dua kilometer," katanya kepada Bernama.

Mohd Adnan berkata suspek yang cedera parah dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Petaling Jaya dan keadannya dilaporkan stabil sementara seorang anggota polis bermotosikal yang dirempuh suspek mengalami kecederaan ringan.

Beliau berkata suspek turut didapati positif dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan 307 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan cubaan membunuh. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain