suria

MB Pahang Mahu SPRM Siasat Kes Teroka Tanah Secara Haram di Cameron Highlands

BERA: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kegiatan penerokaan haram tanah kerajaan secara berleluasa di Cameron Highlands.

Katanya, kerajaan negeri memandang serius kegiatan tersebut dan jika tidak dicegah dengan lebih awal kawasan hutan di situ boleh lenyap akibat perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

"Saya berharap SPRM dapat menyiasat dan bertindak tegas sama ada ia membabitkan penyalahgunaan kuasa atau sebaliknya," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kejadian itu selepas merasmikan majlis 'Pemimpin Turun Padang dan Kenduri Rakyat' di Felda Bukit Mendi di sini, pada Jumaat.

Katanya, ekoran kejadian tersebut kerajaan negeri mengambil keputusan tidak lagi meluluskan lesen menduduki sementara (TOL) bagi menyekat penerokaan tanah secara haram daripada berleluasa di daerah tersebut.

Adnan berkata beliau telah meminta pejabat Tanah dan Daerah Cameron Highlands menyediakan laporan segera mengenai situasi tersebut untuk diteliti dan langkah yang patut diambil dalam usaha mengatasi situasi tersebut. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain