suria

Langat 2 Mungkin Diteruskan Tanpa Persetujuan Selangor - Muhyiddin

JOHOR BAHARU: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan projek loji rawatan Air Langat 2 (Langat 2)diteruskan walaupun tanpa persetujuan kerajaan negeri Selangor.

Katanya, pandangan daripada Peguam Negara telah diminta untuk menentukan sama ada terdapat peruntukan undang-undang yang membenarkan kerajaan pusat meneruskan pembinaan Langat 2 walaupun kerajaan negeri Selangor tidak menyetujuinya.

"Kita minta pandangan Peguam Negara jikalau ada mana-mana peruntukan dalam Kanun Tanah Negara atau Akta Pengambilan Balik Tanah ada bab-bab sebegitu yang mana kita fikir projek ini ada kepentingan awam dan negara, jikalau tidak diberi kebenaran akan menjadi satu masalah besar, mungkin boleh kita teruskan," katanya.

Menurutnya, pihak Peguam Negara masih belum memberi maklum balas kepadanya dan oleh kerana itu rundingan masih dijalankan dengan kerajaan Selangor supaya mereka mengeluarkan arahan pembangunan (DO) bagi pembinaan Langat 2.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan Guru Muda 1 Malaysia peringkat negeri Johor di Pusat KoKurikulum Jabatan Pelajaran Negeri Johor, di sini, Sabtu.

Muhyiddin berkata, jika loji Langat 2 tidak dilaksanakan, Lembah Klang dijangka akan mengalami krisis air paling buruk dalam sejarah pada 2015-2016. "Isu ini adalah serius dan kini semakin serius," katanya dan menambah, di antara enam dan tujuh loji rawatan air di Selangor daripada 34 keseluruhannya, kini beroperasi 24 jam tanpa henti.

Apa yang dibimbangi, kata beliau, jika loji rawatan air yang beroperasi 24 jam tanpa henti itu mengalami masalah, ia akan menyebabkan bekalan air ke kawasan persekitaran terjejas.

Menurutnya, kerajaan pusat mahu menyelesaikan masalah ini, tetapi tanpa persetujuan kerajaan negeri Selangor untuk membina Langat 2, masalah tidak akan dapat diatasi.

Muhyiddin berkata, beliau telah mengutus surat kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memintanya meluluskan permohonan bagi pembinaan Langat 2, tetapi sehingga kini perkara itu menemui jalan buntu.

"Dia (Abdul Khalid) masih berdolak-dalik dan memberikan beberapa sebab, hendak menyelesaikan isu rasionalisasi industri air di negeri itu dengan mengambil alih kesemua syarikat konsesi bekalan air Selangor," katanya.

Beliau berkata, Abdul Khalid perlu mengasingkan isu rasionalisasi industri air Selangor daripada isu pembinaan Langat 2, dan memberikan kebenaran terhadap usaha kerajaan pusat untuk mengatasi masalah air di negeri itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain