suria

Kerajaan Serah Kepada Peguam Negara Tentukan Tindakan Isu Scorpene

BAGAN DATOH: Kerajaan menyerahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menentukan sama ada tindakan undang-undang perlu diambil terhadap Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berhubung isu pembelian kapal selam Scorpene.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Suaram tetap memainkan isu berkenaan walaupun kerajaan telah banyak kali menjelaskan bahawa pembelian Scorpene adalah mengikut prosedur yang betul.

"Saya telah beritahu perkara ini banyak kali sama ada dalam Parlimen atau dalam mana-mana sidang akhbar. Tapi Suaram masih terus dengan agenda politik mereka. Mereka akan memutar belit isu ini untuk kepentingan politik," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra di sini, Sabtu.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan seorang pendakwa kerajaan Perancis Yves Charpenal yang menafikan laporan media yang tersebar di beberapa portal berita online Malaysia berhubung perbicaraan yang sedang berlangsung di Perancis, mengenai dakwaan rasuah oleh sebuah syarikat Perancis berhubung pembelian dua kapal selam Scorpene buatan Perancis oleh Malaysia pada tahun 2002.

Ia berikutan satu aduan Suaram yang difailkan pada 2009 mengenai syarikat berkenaan yang didakwa memberi rasuah kepada sebuah firma Malaysia untuk urus niaga kapal selam itu.

Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim baru-baru ini mendesak Kementerian Pertahanan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memfitnah kerajaan berhubung pembelian kapal selam itu.

Ahmad Zahid menjelaskan bahawa kerajaan sangat telus berhubung pembelian kapal selam itu dan menggesa Suaram berhenti memainkan isu berkenaan.

"Saya rasa mereka perlu menghentikan isu ini dan mereka perlu mengakui kenyataan bahawa transaksi Scorpene mengikut garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kewangan," katanya.

Beliau berkata sebagai rakyat yang setia, Suaram perlu lebih bertanggungjawab untuk mendapatkan fakta yang betul.

"Mereka bukan sahaja menipu tetapi bermain dengan sentimen yang bukan berdasarkan fakta tetapi menjadikannya sebagai isu politik dan dipergunakan orang lain," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain