suria

Enam Dicari Bantu Kes Curi Cip Mikro

BUKIT MERTAJAM: Polis Pulau Pinang mencari enam lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes rompakan cip mikro unit pemprosesan komputer (CPU) bernilai RM22 juta di sebuah kilang di kawasan Perusahaan Perai Bukit Tengah di sini Ahad lepas.

Mereka ialah A.Jaykumar, 26, beralamat terakhir di Taman Keladi, Sungai Petani, Kedah; M.Vikneswaran, 21, dan K.Karunageran, 27, dari Taman Sejahtera di sini; P.Vinokumar, 23, Taman Selamat, Alma di sini; S.Kalidas, 28, dari Sungai Puyu, Butterworth dan Ooi Kah Ken, 36, Jalan Pala 10, Kawasan Perindustrian Ringan Permatang Tinggi di sini.

Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata mereka diminta hadir di mana-mana balai polis bagi membantu siasatan. Seramai lapan lelaki bersenjatakan pedang samurai dilaporkan terbabit dalam kejadian 2.30 pagi itu.

Pada Khamis lepas dan semalam, dua lelaki berumur 34 dan 27 tahun telah ditahan berhubung kes itu dan polis menemui semula sekotak cip yang bernilai RM75,000. "Lelaki berusia 34 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kepala Batas dan dipercayai dia adalah orang tengah yang menjual baki cip mikro yang disamun itu manakala seorang lagi menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah.

"Kedua-dua mereka direman tujuh hari," kata Abdul Rahman kepada pemberita selepas menghadiri Program Senamrobik Perdana di Politeknik Seberang Perai di sini, Sabtu.

Sementara itu beliau berkata enam pegawal keselamatan di gudang berkenaan yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan semalam kerana mereka didapati tidak terlibat dalam kes itu.

Beliau juga berkata polis menemui semula sebuah motosikal milik salah seorang pengawal keselamatan tersebut yang dilarikan suspek semasa kejadian samun berkenaan.

Abdul Rahim berkata pihaknya percaya akan dapat menemui semula baki cip yang masih hilang.

"Kertas siasatan kes ini akan dihantar kepada Pejabat Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk tindakan susulan," tambahnya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain