suria

Ancaman Menggugat Demokrasi Perlu Ditegah - Tun Khalil

MELAKA: Ancaman dalaman dan luaran yang menggugat demokrasi seperti rusuhan kaum, ekstremis agama dan isu perkauman perlu ditegah dengan apa cara sekalipun, kata Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob.

Beliau berkata keamanan dan keharmonian yang dinikmati pada hari ini hendaklah dipelihara dan bukan sesuatu yang boleh diperjudikan.

"Apa yang sewajarnya dilakukan bagi mereka yang berada dalam kerajaan, pentadbiran, NGO (badan bukan kerajaan), swasta dan masyarakat adalah bersama-sama menuju ke arah masa depan dengan anjakan paradigma, tidak lalai dan lebih berhati-hati serta berfikir secara matang bahawa keamanan dan keharmonian yang kita nikmati hari ini hendaklah dipelihara," katanya semasa berucap pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Hari Jadi beliau ke-74 di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, Sabtu.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam serta barisan anggota Exco kerajaan negeri.

Katanya beliau menyokong perjuangan kerajaan melaksanakan konsep wasatiyyah atau kesederhanaan yang menjadi teras kepada gagasan 1Malaysia sebagai pendekatan yang boleh membawa kepada keamanan sejagat. Mohd Khalil berkata prinsip-prinsip yang bertepatan dengan kesyumulan Islam ini selaras dengan wawasan kepimpinan negara yang mahu mewujudkan keseimbangan dalam membina perpaduan masyarakat berbilang bangsa, agama dan resam budaya.

Katanya beliau juga menyokong usaha kerajaan mendekatkan diri kepada rakyat melalui program turun padang dan tinjauan mesra bagi memahami pelbagai masalah peringkat akar umbi.

"Saya percaya pendekatan ini merupakan platform paling baik dalam usaha kerajaan menyampaikan segala pelan dan dasar yang dirancang kepada rakyat," katanya. Menyentuh tentang taraf hidup rakyat, Mohd Khalil berkata kadar inflasi di Melaka berada pada 2.0 peratus bagi tempoh Jan hingga Ogos tahun ini berbanding 2.8 peratus pada tempoh sama 2011.

Beliau berkata harga barangan yang masih terkawal di negeri ini memberi satu menifestasi kepada pelancong bahawa Melaka adalah destinasi pilihan terbaik untuk dikunjungi.

Selain itu, katanya, kadar pengangguran 0.7 peratus bagi suku pertama tahun ini berbanding 0.9 peratus bagi tempoh sama 2011 mencerminkan Melaka berada di dalam kedudukan guna tenaga penuh.

Pada istiadat tersebut, seramai 240 penerima menerima Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat masing-masing didahului Gabenor Sumatera Utara Gatot Pujo Nugroho yang dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain