suria

57 Komputer Judi Dirampas

KUANTAN: Polis Daerah Kuantan merampas 57 set komputer dan menahan lapan orang yang dipercayai terbabit dalam kegiatan judi haram di dua buah premis kafe siber di Jalan Datuk Wong Ah Jang di sini malam Jumaat.

Dalam serbuan pertama kira-kira pukul 11 malam, polis merampas 22 komputer dan wang tunai berjumlah RM520 dipercayai hasil aktiviti perjudian dan menahan dua lelaki berumur lingkungan 20-an yang dipercayai penjaga premis berkenaan.

Selepas 15 minit kemudian, polis menyerbu pula sebuah premis kafe siber berdekatan dan merampas 35 set komputer dan wang tunai RM250 serta menahan enam orang termasuk dua penjaga premis, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Abdul Aziz Ahmad. Kesemua yang ditahan berumur dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun.

Beliau berkata serbuan dilakukan sebagai usaha berterusan pihak polis dalam membanteras kegiatan perjudian siber haram di bandar ini yang semakin berleluasa.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) (b) Enakmen Hiburan 1993 dan Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi terbuka 1953. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain