suria

PAS Gadai Prinsip, Gagal Domimasi Pembangkang

PETALING JAYA: PAS membelakangkan prinsip dan dasar perjuangan mereka demi kepentingan politik apabila mahu meneruskan kerjasama dengan DAP yang secara konsisten mempersoalkan pelaksanaan hukum Islam.

Pengerusi Sekretariat Ulama Muda Umno (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya berkata, kerjasama yang dijalinkan antara PAS dan DAP boleh dipersoalkan terutamanya apabila parti yang mendakwa memperjuangkan Islam itu gagal mendominasi pakatan pembangkang.

"Tidak salah kalau nak bekerjasama dengan bukan Islam tapi ia mesti bersyarat. Pertamanya tidak boleh bekerjasama dengan individu atau kumpulan yang dengan jelas mencerca, menghina dan bersifat menolak Islam.

"Selain itu konsep dominan juga perlu dipertimbangkan bagi mengelakkan prinsip dan perjuangan Islam tergadai," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Jumaat.

Jelas Fathul Bari, dalam konteks kerjasama politik antara PAS dan sekutunya dalam pakatan pembangkang, parti itu ternyata hanya bersifat pengikut dan bukannya sebagai ketua.

"Jelas sekali PAS bukan parti dominan, kerjasama pembangkang didominasi DAP dan PKR (Parti Keadilan Rakyat). PAS bukan ketua dalam pakatan itu," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendirian tegas Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa parti itu akan terus bekerjasama dengan DAP untuk mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 walaupun mendapat tentangan daripada ahli akar umbi.

Tegas Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan, DAP tidak pernah menganggu PAS sejak kerjasama antara kedua-dua parti terjalin sebaliknya masalah tersebut hanya mainan media milik Umno.

Mengulas lanjut, Fathul Bari berkata, berbeza antara kerjasama yang dijalinkan antara Umno dengan MCA, MIC dan parti politik lain dalam Barisan Nasional (BN) kerana parti induk itu memainkan peranan utama dalam kerjasamanya.

"Kerjasama dengan bukan Islam hukumnya adalah harus. Sebagai contoh dalam BN, apabila Umno bekerjasama dengan MCA dan MIC.

"Jelas sekali Umno mendominasi kerjasama berkenaan. Jadi prinsip dan dasar Islam yang dipertahankan parti itu tidak akan tergadai kerana Umno mempunyai suara dominan," katanya lagi.

Artikel Lain