suria

Minuman Dan Makanan Di Oldtown White Coffee Halal

KUALA LUMPUR: Oldtown White Coffee memberi jaminan bahawa makanan dan minuman yang dihidangkan di semua restorannya halal.

Makanan dan minuman yang dihidangkan oleh Oldtown White Coffee didakwa oleh beberapa pihak sejak kebelakangan ini sebagai tidak halal dan pekerja beragama Islamnya mahu meletak jawatan.

"Oldtown White Coffee tidak menghidangkan produk tidak halal atau alkohol.

"Kesemua bekalan kami disediakan oleh pembekal yang mempunyai sijil yang diperakui JAKIM, yang perlu menunjuk sijil halal yang sah ke atas setiap barang yang dibekalkan," kata Datuk Dr Ahmed Tasir Lope Pihie, Pengerusi Oldtown Bhd, dalam kenyataan, Jumaat.

Oldtown Bhd ialah syarikat senarai awam di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd, dan maklumat itu boleh diperoleh secara dalam talian.

"Kami mahu memberi penjelasan bahawa Oldtown White Coffee tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana parti politik, dan syarikat itu juga tidak berminat terhadap politik.

"Kami kini bekerja rapat dengan Cyber Security Malaysia dan Biro Aduan (MCMC) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bagi membuat penjelasan terhadap dakwaan dalam talian itu dan tidak agak-agak mendakwa mana-mana pihak yang terus memfitnah Oldtown White Coffee," kata Ahmed Tasir.

Ditubuhkan pada 1999, OldTown mengeluar campuran dan produk minuman segera, selain mengurus operasi lebih daripada 200 kafe di seluruh negara dan rantau ini.

Pada 2005, perniagaan diperluas kepada sektor perkhidmatan makanan menerusi pembukaan rangkaian restoran kafe yang berasaskan kedai kopi tradisional Ipoh menggunakan jenama "Oldtown White Coffee". - BERNAMA

Artikel Lain