suria

Kilang Perabot Terbakar Sebabkan Kerugian RM3 Juta

PADANG SERAI: Sebuah kilang perabot di kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Taman Kenangan, Sungai Karangan dekat sini musnah dalam satu kebakaran malam Rabu.

Kejadian berlaku kira-kira 11 malam dan menyebabkan keseluruhan bangunan Kilang Everwood Sdn Bhd yang beroperasi lebih 23 tahun itu hangus.

Kebakaran kilang yang mengeluarkan produk untuk eksport itu menyebabkan kerugian kira-kira RM3 juta dan 40 pekerja yang kebanyakannya warga asing hilang sumber pendapatan.

Pegawai Zon Bomba dan Penyelamat Kulim Hitech Mohd Firdaus Daud berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 11.08 malam tadi dan tiba di lokasi 11.16 malam, manakal api dapat dikawal dua jam kemudian.

"Seramai 59 orang terlibat termasuk 24 anggota daripada tiga pasukan bomba dan penyelamat iaitu Kulim Hi-tech Park, Tasik Gelugor dan Serdang serta tujuh pasukan bomba bantuan sukarela dari Sungai Petani, Kuala Ketil dan sekitar Seberang Perai," katanya kepada pemberita di lokasi kebakaran Khamis.

Katanya pihak bomba dan penyelamat dapat menyelamatkan kira-kira RM4 juta nilai beberapa bangunan kilang bersebelahan bangunan yang hangus terbakar itu.

Mohd Firdaus berkata punca kebakaran masih disiasat.

Sementara itu Penyelaras Parlimen Padang Serai Dr Chin Tung Leung yang melawat lokasi kebakaran memuji tindakan pantas anggota bomba dan penyelamat kerajaan dan sukarela kerana berkerja keras memadamkan kebakaran sekali gus mengelakkannya merebak ke tempat lain.

Artikel Lain