suria

Kemalangan: Hajat Nak Makan Asam Pedas Ibu Tidak Sampai

KEMAMAN: Hajat Mohd Shafiq Norizan untuk merasai masakan asam pedas ibunya Noran Ali tidak kesampaian apabila ibunya meninggal Dunia bersama tiga adik-beradiknya dalam kemalangan pagi Rabu.

"Kali terakhir ibu telefon Ahad lepas. Dia dah janji nak datang melawat saya sama adik-adik. Saya sempat pesan bawa makanan ringan dan masakan makanan kegemaran saya iaitu asam pedas. Tapi sekarang saya pula yang pulang melawat jenazah mereka.

"Masa berbual dengan ibu (dalam telefon), berkali-kali ibu pesan jaga diri saya dan jaga adik-adik. Saya iakan cakap ibu dan tidak sangka itu petanda dia akan meninggalkan kami selama-lamanya," kata Mohd Shafiq mengenai kemalangan maut yang menimpa ibunya dan tiga orang adik-adiknya itu.

Mohd Shafiq, 18, anak kedua daripada lapan beradik sedang mengikuti Program Latihan Khidmat Negara di Kem Jengka 6, Pahang sejak 9 Sept lepas.

Dia pulang untuk menziarahi jenazah Ibu dan adik-adiknya di Kampung Gong Pauh di sini.

Dalam tragedi itu, Noran, 39, bersama anak-anaknya Nursyazleen Norizan, 12, Nur Syardiena, 9, dan Nurkhairatul Najiha, 4, antara enam yang maut dalam kemalangan yang membabitkan kereta yang mereka naiki dan sebuah bas ekspres di Km129.65 Jalan Kuantan-Kuala Terengganu berhampiran Meraga Beris di sini kira-kira 4.30 pagi.

Dua lagi yang maut ialah saudara-mara mereka iaitu Wan Aspisar Wan Abd Kadir, 43, dan Khairudi Omar, 31, yang memandu kereta tersebut.

Dua lagi anak Noran iaitu Nursakinah, 17, dan Nursyafura, 13, cedera parah dan sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang.

Mohd Shafiq berkata dia mengetahui berita yang menimpa ibu serta adik-adiknya itu kira-kira pukul 10.30 pagi semalam dari kem komandan sebelum dia bergegas pulang ke kampung.

"Pada mulanya saya sangkakan itu hanya gurauan, namun setelah diyakinkan oleh kawan-kawan dan kem komandan berita itu benar-benar berlaku, saya pengsan kerana terlalu terkejut," katanya.

Sementara itu bapa saudara kepada Khairudi, Mohamad Ali, 57, berkata kesemua anggota keluarganya reda dengan pemergian anak bongsu daripada enam beradik itu.

"Setahu saya, arwah (Khairudi) memang rapat dengan keluarga Noran selain ibu kandungnya yang tinggal di Kampung Gong Pauh. Walaupun arwah seorang yang tidak banyak bercakap, tapi dia seorang yang rajin bekerja," katanya. BERNAMA

Artikel Lain