suria

Hujan Lebat Sebabkan Banjir Kilat, Lalu Lintas Sesak Di Ibu Negara

KUALA LUMPUR: Kesesakan lalu lintas berlaku di beberapa jalan utama di sekitar bandar raya berikutan banjir kilat setelah hujan lebat petang Jumaat.

Hujan lebat selama sejam bermula kira-kira 4 petang menyebabkan kesesakan lalu lintas di susur Jalan Kuching menuju ke Jalan Duta, dan Jalan Segambut ke Jalan Duta berikutan banjir kilat, kata jurucakap polis Trafik Kuala Lumpur pada Jumaat.

Jurucakap bilik gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur pula berkata, banjir kilat mula surut selepas 5.30 petang, dan setakat ini, tiada laporan berhubung kejadian pokok tumbang.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, beberapa laluan sesak akibat hujan lebat, termasuk dari Sungai Besi menuju Kampung Malaysia, dan dari Kuchai Lama ke Persimpangan Kuchai.

LLM turut menasihatkan pengguna jalan raya agar memandu dengan cermat dalam keadaan cuaca yang tidak menentu bagi mengelak kemalangan, seterusnya mengakibatkan kesesakan lalu lintas. - BERNAMA

Artikel Lain