suria

Gesaan Lantik Hakim Wanita Peringkat Rayuan

PUTRAJAYA: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) pada Jumaat disaran supaya melantik hakim wanita di peringkat Mahkamah Rayuan bagi memberi peluang kepada golongan itu membuat keputusan di peringkat dasar yang lebih tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah (BSK) Datuk Kamilia Ibrahim berkata ruang yang seimbang perlu diberikan kepada wanita untuk mengisi jawatan penting dalam mengemudi kehakiman syariah.

"Tidak timbul tanggapan bahawa hakim wanita akan lebih emosional ataupun hanya menyebelahi kaum wanita ketika mengendalikan sesuatu kes," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Ini kerana seseorang hakim itu terikat dengan hukum syarak, undang-undang, keterangan serta pembuktian sebelum mengeluarkan keputusan, katanya.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan sepuluh hakim daripada Sudan termasuk tiga Hakim wanita Mahkamah Rayuan Syariah.

Kamalia berkata banyak kes di Mahkamah Syariah juga melibatkan kes kekeluargaan, oleh itu dirasakan lebih wajar perspektif golongan wanita di peringkat rayuan.

"Ramai wanita kini mempunyai kelayakan syariah yang tinggi, berpengalaman luas serta berkemahiran yang membolehkan mereka memikul tanggungjawab itu," katanya.

Mengambil contoh pelantikan lima orang wanita sebagai hakim di Mahkamah Rendah di seluruh negara sejak 2010, setakat ini tiada rugutan diterima yang mempertikai kewibawaan hakim-halim itu mengendalikan kes.

Di Mahkamah Sivil pelantikan hakim telah lama dibuat, sehingga kini terdapat dua hakim wanita di peringkat Mahkamah Persekutuan, empat di Mahkamah Rayuan dan 30 di Mahkamah Tinggi. - BERNAMA

Artikel Lain