suria

Tuanku Abdul Halim Dimasyhur Sebagai Canselor UPNM

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Khamis dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada majlis istiadat konvokesyen universiti itu.

Upacara pemasyhuran yang dijalankan pada Khamis dengan penuh istiadat universiti berkenaan dengan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyerahkan watikah pelantikan selepas Tuanku Abdul Halim berkenan dengan pemasyhuran itu.

Seri Paduka kemudian berkenan menerima cokmar UPNM yang berasaskan pedang Zulfakar sebagai lambang kuasa Universiti itu daripada Naib Canselor universiti itu, Leftenan Jeneral Datuk Wira Allatif Mohd Noor.

Turut berangkat hadir Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Tuanku Abdul Halim dimasyhurkan sebagai Canselor UPNM menggantikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, yang sebelum ini merupakan Yang di-Pertuan Agong ke-13.

Hadir sama Pro Canselor UPNM Tunku Puteri Intan Shafinaz Tuanku Abdul Halim. - BERNAMA

Artikel Lain