suria

SPRM Siasat Kerja ‘Orang Dalam’ Di Pejabat Daerah Cameron Highlands

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan untuk menentukan sama ada terdapat orang dalam di pejabat daerah Cameron Highlands bersubahat dengan peneroka tanah haram.

Penyiasatan dimulakan berikutan pendedahan oleh Pegawai Daerah, Datuk Ahmad Daud mengenai terdapat ‘musuh dalam selimut’ yang kemungkinan membocorkan maklumat kepada mereka yang bertanggungjawab terhadap penerokaan tanah secara haram di tanah tinggi itu, yang menyebabkan kegagalan beberapa serbuan oleh pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull berkata, beliau telah mengarahkan para pegawainya untuk berjumpa dengan Ahmad bagi mendapatkan penilaian mengenai keadaan itu.

“Kami mahu mendapatkan gambaran sebenar apa yang telah berlaku,” kata Shukri.

Ahmad pada Selasa lalu berkata, pihak berkuasa dikatakan sukar untuk menangkap mereka yang terlibat dalam penerokaan tanah secara haram itu kerana terdapat pegawai daerah yang bersubahat dengan mereka yang melakukan kesalahan itu.

Beliau berkata, disyaki antara mereka membocorkan maklumat kepada pesalah itu sehingga menyebabkan serbuan gagal dilakukan.

Presiden Persatuan Alam Sekitar Serantau Cameron Highlands, R. Ramakrishnan mendakwa penerokaan tanah secara haram itu berlaku di kebanyakan kawasan di tanah tinggi itu seperti Lembah Mensun, Brinchang, Tanah Rata dan Kampung Taman Sedia.

Beliau berkata, aktiviti itu bermula awal tahun ini tetapi keadaan tersebut bertambah buruk sejak empat bulan lepas.

Langkah yang dilakukan oleh SPRM untuk menyiasat aktiviti penerokaan tanah secara haram itu menerima pujian daripada pemimpin Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk S.K. Devamany berkata, kenyataan pegawai daerah menunjukkan terdapat pengurusan yang tidak betul dan kebocoran maklumat.

“Adalah sewajarnya bagi SPRM untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Datuk Ho Yip Kap berkata, langkah itu adalah “baik untuk orang-orang di Cameron Highlands”.

“Kerajaan mesti dilihat komited dalam bertindak terhadap amalan rasuah,” katanya.

Artikel Lain