suria

Selangor Digesa Tidak Sembunyi Isu Talam Dalam Kertas Putih

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor digesa supaya menjawab semua persoalan yang dibangkitkan berkaitan isu kutipan semula hutang Talam Corporation Bhd menerusi kertas putih yang dijadual dibentangkan pada 19 November ini.

Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong berkata, pihaknya berharap kerajaan negeri tidak menyembunyikan fakta-fakta penting menerusi kertas putih berkenaan.

"Adakah kerajaan negeri akan bentangkan kertas putih yang mengandungi maklumat-maklumat lengkap? Ataupun hanya seperti laporan KPMG (KPMG Transaction & Restructuring Sdn Bhd) yang langsung tidak menjawab semua dakwaan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Khamis.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilaporkan berkata bahawa kerajaan negeri akan membentangkan kertas putih mengenai penyelesaian hutang Talam di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 19 November ini.

Sebelum ini pelbagai pihak mempertikai tindakan kerajaan Selangor yang gagal menyiapkan kertas putih berhubung penstrukturan hutang Talam pada 2010 seperti yang dijanjikan.

Mengulas lanjut, Chua turut mempertikaikan keputusan kerajaan negeri menggunakan khidmat audit swasta iaitu KPMG berbanding Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

"Kenapa mereka tidak gunakan penilai kerajaan negeri tetapi mahu menggunakan penilai swasta bagi tujuan penilaian sesuatu perkara yang besar," katanya.

Sebelum ini Chua dilaporkan berkata, dalam isu kutipan hutang Talam melibatkan tanah di Bukit Beruntung 2, JPPH telah mentaksirkannya pada harga RM113 juta tetapi kerajaan Selangor membelinya pada harga RM345 juta.

Beliau berkata, sehingga kini, persoalan berapakah harga penilaian negeri melalui JPPH berbanding dengan harga yang dibayar oleh kerajaan negeri bagi setiap aset yang diterima dan dibeli dalam penyelesaian hutang Talam, masih belum terjawab.

Artikel Lain