suria

Polis Tahan Seorang Lelaki & Wanita Berhubung Kes Bunuh Di Kajang

SHAH ALAM: Polis telah menahan seorang lelaki dan seorang wanita berhubung kes pembunuhan yang melibatkan ahli perniagaan Leong Kian Sheong dan teman wanitanya Vivien Wong di sebuah rumah di Taman Segar Perdana, Kajang baru-baru ini.

Kes berkenaan juga dipercayai ada kaitan dengan pembunuhan seorang lagi ahli perniagaan, Won Sin Keong yang juga merupakan kenalan Leong sebelum itu.

Won ditemui mati di dalam kereta BMWnya di tepi Jalan Mahkota 1 pada 9 September lalu.

Leong, 37 dan teman wanitanya Vivien Wong, 20, ditemui berlumuran darah di bilik bacaan rumahnya. Ketika mayat mereka ditemui, terdapat kesan luka tikaman pada beberapa bahagian badan mereka.

Won, 42, pula ditemui meninggal dunia dengan kesan pukulan pada kepada oleh satu objek tumpul.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, polis telah menahan suspek yang berusia 48 tahun itu dan seorang wanita yang berusia 20 tahun selepas melancarkan serbuan di sebuah rumah teres di Keriang, Pahang pada lebih kurang jam 2 petang Rabu.

“Dalam serbuan itu kami telah menemui parang, dua set gari, sebuah kep yang mempunyai logo polis, dua buah jaket dan sebuah kereta,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Selangor di sini.

Katanya lagi, suspek lelaki itu berasal dari Gemas, Johor, mempunyai rekod jenayah sebelum ini manakala wanita yang ditahan bersamanya itu berasal dari Kedah.

Polis juga katanya sedang mencari Koh Kim Hen, 35; We Choon Ann (Franco@Ann), 40; Tan Tiam Teng, 47; dan Noor bin Ismail, 48 bagi membantu siasatan.

Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai mereka bolehlah menghubungi Asisten Superintendan Suresh di 016-6688707 atau Ibu Pejabat Polis Kajang di talian 03-8736 2222.

Artikel Lain