suria

Kes Dadah Pelajar: Education Malaysia Pastikan Kebajikan, Keadilan Terjamin

YOGYAKARTA: Pihak Education Malaysia (EM) Indonesia sudah menemui pelajar Malaysia yang ditahan kerana kes dadah di sini, bagi memastikan kebajikannya semasa dalam tahanan terjamin selain membantunya mendapatkan keadilan.

Setiausaha (I) Pendidikan di Kedutaan Besar Malaysia Jakarta, Ludinata Misnun menemuinya di Ibu Pejabat Polis Daerah Sleman di sini pada Rabu.

"Saya telah menemui pelajar terbabit bagi mengetahui keadaannya dalam tahanan dan telah juga mendapat penjelasan daripada pihak polis Indonesia berhubung kes yang sedang dihadapi oleh pelajar itu," katanya di sini.

Menurutnya pelajar itu mendapat layanan baik oleh pihak polis di sini dari segi keperluan asasnya untuk beribadat dan penjagaan kesihatan.

Beliau berkata, apa yang diharapkan ialah kes itu dapat segera diselesaikan secara baik dengan kerjasama semua pihak.

Sementara kes pelajar itu sedang diproses oleh polis di sini, pihaknya telah berurusan dengan universiti tempat pelajar tersebut menuntut bagi membolehkannya diberi penangguhan kuliah sehingga kes selesai.

Ketika ditanya mengenai bantuan guaman kepada pelajar, pihak kedutaan hanya boleh mencadangkan beberapa peguam yang boleh membantu kepada keluarga pelajar namun keputusannya ditentukan mereka sendiri.

EM Indonesia, katanya menghargai kerjasama baik yang diberikan oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Sleman yang menangani kes pelajar itu. - BERNAMA

Artikel Lain