suria

Isu Talam: Mana Satu Yang Betul K'jaan Negeri atau MB?

Datuk Seri Mohd Zin Mohamed
Datuk Seri Mohd Zin Mohamed
Datuk Seri Mohd Zin Mohamed

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor menggesa kerajaan Selangor memberi penjelasan sebenar dan tidak berdolak-dalik berhubung penyelesaian hutang Talam Corporation Berhad (Talam) yang dibayar oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata, tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membuat kenyataan menafikan dakwaan bahawa PKNS telah menyelesaikan hutang Talam dilihat memakan diri kerana kenyataan sebaliknya dipaparkan dalam laman web kerajaan negeri di bawah soal jawab (Frequent Ask Question (FAQ) mengenai isu Talam.

“Kerajan negeri masih cuba menutup isu hutang Talam ini. Hakikatnya rakyat Selangor mulai sedar bahawa isu ini melibatkan dana kerajaan untuk menyelamatkan satu syarikat (bail out).

“Menteri Besar nampaknya telah terperangkap dengan kata-kata beliau sendiri. Ini kerana dalam laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 21 September lalu, Abdul Khalid telah menafikan bahawa PKNS telah terlibat dalam sebarang pembelian hutang Talam. Persoalannya, adakah ini benar?,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Bangunan Umno Selangor pada Khamis.

Beliau berkata, apa yang menjadi kemusykilan adalah dalam ruangan FAQ yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri yang didakwa telah disahkan oleh pihak audit bebas menyatakan bahawa PKNS telah menyelesaikan hutang Talam.

“Mana satukah yang benar? Kenyataan Menteri Besar atau FAQ yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri? Adakah FAQ yang dikeluarkan itu merupakan maklumat yang sengaja diada-adakan oleh mereka?

“Seterusnya, kita mahu tanya apakah tindakan kerajaan negeri terhadap pembeli rumah PKNS yang menuntut supaya hutang mereka turut diselesaikan oleh PKNS?,” soalnya.

Pada Rabu, Abdul Khalid berkata Kerajaan Selangor akan membentangkan dua kertas putih, mengenai kutipan hutang Talam dan penstrukturan semula air pada persidangan khas Dewan Negeri Selangor selewat-lewatnya pada 19 November depan.

Beliau dipetik sebagai berkata, pihaknya masih menunggu perkenan Sultan Selangor berhubung cadangan untuk mengadakan sidang khas itu sebelum tarikh tersebut.

Menurutnya lagi, kertas putih mengenai kutipan hutang Talam itu diserahkan kepada pejabat Dewan Undangan Negeri Selangor bersama-sama dengan laporan audit oleh KPMG (KPMG Transaction & Restructuring Sdn Bhd) dan dokumen lain berkaitan dengan pembayaran hutang oleh Talam kepada kerajaan negeri.

Dalam perkembangan lain, Mohd Zin turut menuntut penjelasan berhubung isu pembelian 50 kompaktor sampah yang didakwa tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Sehingga kini, Menteri Besar masih berdolak-dalik dalam isu itu malah tanpa segan silu telah menambah tempahan 50 buah kompaktor sampah lagi. Sehingga kini, persoalannya di mana kompaktor sampah ini? Kenapa kerajaan negeri masih belum menerima sebarang lori baru seperti yang dikatakan?

“Lebih mengejutkan, timbul pula isu bas Jelajah Merdeka Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang turut dikaitkan dengan pembelian kompaktor sampah kerana ia dibeli daripada pengeluar yang sama iaitu Dong Feng. Apakah sebenarnya yang berlaku? Adakah pendedahan bahawa bas Jelajah Merdeka PKR itu satu ‘silap mata’ Menteri Besar Selangor,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan yang rakyat Selangor menuntut lebih daripada sekadar penafian daripada menteri besar kerana ia melibatkan dana kerajaan yang begitu tinggi.

“Saya ingin bertanya kepada pimpinan kerajaan negeri terutamanya menteri besar sendiri di manakah ketelusan dalam hal ini?

"Kenapa exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat terutamanya daripada DAP dan PAS masih berdiam diri dan menganggap seperti tiada apa-apa yang berlaku? Rakyat Selangor menuntut penjelasan yang sewajarnya,” kata beliau.

Mohd Zin yang juga Ahli Parlimen Sepang berkata, masalah sampah di Selangor sudah berulang kali dibangkitkan namun ia masih tidak selesai.

“Saya bimbang masalah ini akan menjadi lebih buruk apabila tiba musim tengkujuh. Apabila sampah tidak diambil akan menyebabkan orang buang sampah dalam parit. Akhirnya ia tersumbat dan air hujan tidak dapat mengalir seperti biasa.

“Maka akan berlaku banjir kilat. Lebih buruk kita bimbang akan timbul masalah kesihatan dan bau busuk daripada sampah ini akan menyebabkan lalat serta penyakit lain daripada bawaan haiwan itu menjangkiti penduduk sekitarnya,” katanya.

Sebelum ini, sebuah laman blog, http://sel13.com menyiarkan laporan mempertikaikan pembelian 50 model lori kompaktor sampah bernilai RM14.5 juta oleh kerajaan PKR Selangor termasuk bas dua tingkat dan trak kontena serba guna untuk parti itu.

Selain itu, blog terbabit turut mempersoalkan kenyataan Abdul Khalid yang mendakwa bas mewah digunakan parti itu sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 adalah disewa dan dibiayai sepenuhnya oleh beliau tanpa menggunakan wang kerajaan negeri.

Artikel Lain