suria

Ibu Dan Tiga Anak Antara Enam Yang Maut Dalam Nahas Di Kemaman

Bas ekspress yang terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan enam orang maut di KM129.65 Jalan Kuantan-Kuala Terengganu di Meraga Beris, Kemaman, Terengganu. -fotoBERNAMA
Bas ekspress yang terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan enam orang maut di KM129.65 Jalan Kuantan-Kuala Terengganu di Meraga Beris, Kemaman, Terengganu. -fotoBERNAMA
Bas ekspress yang terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan enam orang maut di KM129.65 Jalan Kuantan-Kuala Terengganu di Meraga Beris, Kemaman, Terengganu. -fotoBERNAMA

KEMAMAN: Seorang ibu bersama tiga anaknya adalah antara enam yang maut dalam kemalangan yang membabitkan kereta mereka dan sebuah bas ekspres di Km129.65 Jalan Kuantan-Kuala Terengganu berhampiran Meraga Beris di sini awal pagi Rabu.

Ibu tersebut ialah Noran Ali, 39, dan anak-anak perempuannya Nursyazleen Norizan, 12, Nur Syardiena, 9, dan Nurkhairatul Najiha, 4.

Dua lagi yang maut dalam tragedi kira-kira 4.30 pagi itu ialah saudara mara mereka iaitu Wan Aspisar Wan Abd Kadir, 43, dan Khairudi Omar, 31, yang memandu kereta tersebut.

Dua lagi anak Noran iaitu Nursakinah, 17, dan adiknya Nursyafura, 13, cedera parah dan sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang (HTAA).

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, DSP Abdul Marlik Hakim Johar berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Viva yang dinaiki para mangsa hilang kawalan akibat muatan berlebihan sebelum terbabas dan merempuh bas ekspres berkenaan.

Beliau yang berada di Hospital Kemaman di mana mayat para mangsa ditempatkan berkata rempuhan secara berhadapan itu menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.

Semua mangsa berasal dari Kampung Gong Pauh kecuali Wan Aspisar dari Kampung Bukit Mentok.

"Siasatan awal mendapati kereta itu memasuki laluan bertentangan sebelum berlaku pertembungan dengan bas ekspres berkenaan," kata Abdul Marlik.

Beliau berkata pemandu bas ekspres tersebut bersama 23 penumpang yang sedang dalam perjalanan dari Kota Baharu ke Kuantan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tinjauan Bernama mendapati kawasan kemalangan terletak di laluan yang lurus berhadapan Sekolah Kebangsaan Meraga Beris dan menurut beberapa penduduk, di kawasan tersebut memang sering berlaku kemalangan maut.

Sementara itu suami kepada Noran, Norizan Othman, 49, berkata beliau reda dengan ketentuan Illahi dan menambah jenazah ahli keluarganya akan dikebumi di Tanah Perkuburan Kampung Gong Pauh selepas solat asar.

Beliau juga berkata pihak hospital memberitahu keda-dua anaknya yang sedang dirawat mengalami kecederaan teruk di kepala dan badan namun berada dalam keadaan stabil.

"Saya hanya akan menziarahi mereka selepas menguruskan urusan pengkebumian adik-adiknya di sini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain