suria

Tiada Barang Dalam Kedai Yang Sempat Diselamat

SIK: Hanya sekejap meninggalkan rumah kedai yang disewanya sejak lebih 30 tahun lalu untuk menikmati makan malam di Gurun, seorang peniaga dikejutkan dengan panggilan telefon daripada salah seorang anaknya yang memaklumkan kediaman dan kedainya itu hangus terbakar malam Selasa.

Tan Ewe Peng, 56, yang menjual barangan plastik berkata paling menyedihkan apabila berita mengejutkan itu lewat diketahuinya menyebabkan tiada barang yang dapat diselamatkan.

"Saya keluar dari rumah kira-kira pukul 7.45 malam menuju ke Gurun untuk makan. Kemudian saya tidak jadi makan di kedai sebaliknya membungkus makanan dan dibawa ke rumah anak di Sungai Petani.

"Selepas selesai makan, kira-kira pukul 9.30 malam, seorang anak saya menelefon memaklumkan kejadian yang berlaku namun apabila saya tiba di sini, rumah itu sudah musnah dan tiada apa yang sempat diselamatkan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian kebakaran di jalan utama Pekan Jeniang dekat sini Rabu.

Kebakaran itu yang memusnahkan 10 rumah kedai dan menyebabkan dua lagi rosak berlaku kira-kira 8 malam tadi dengan kerugian dianggarkan RM2.165 juta.

Katanya kerugian yang dialaminya agak besar dan dia tidak pasti sama ada dapat mendirikan semula perniagaannya, apatah lagi beberapa set peralatan yang baru dibelinya turut musnah dalam kebakaran itu.

Sementara itu, seorang lagi pemilik kedai Lee Seng Kea, 67, berkata ketika kejadian berlaku dia berada di sebuah lagi kedai perabut miliknya yang terletak bertentangan dengan kedai yang terbakar itu.

"Saya lihat api mulai marak dengan cepat dari salah sebuah kedai dan saya segera memaklumkan rakan-rakan yang ada di kawasan berhampiran, namun tiada apa yang dapat diselamatkan kerana kebanyakan bangunan ini dibina daripada kayu," katanya.

Seorang lagi pemilik, Chin Su Yen, 63, pula berkata dia turut merasa sedih dan bersimpati dengan nasib yang menimpa peniaga-peniaga lain namun bersyukur kerana kedai emas miliknya sempat diselamatkan daripada terbakar.

"Hanya sebahagian daripada bangunan itu rosak teruk dan saya berharap agar barang yang ada dalam kedai terselamat," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Anggota Dewan Undangan Negeri Gurun Dr Leong Yong Kong turut menyampaikan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada pemilik kedai yang terlibat dalam kebakaran. BERNAMA

Artikel Lain