suria

Syarikat Malaysia Perlu Berganding Dengan Lebih Banyak PKS Jepun, Kata Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau ingin melihat banyak syarikat Malaysia berganding dengan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Jepun bagi menggerakkan ekonomi negara ini ke hadapan.

Najib berkata beliau berharap melihat lebih banyak PKS Jepun bekerjasama dengan syarikat Malaysia di dalam bidang kepakaran seperti teknologi hijau, perkhidmatan teknikal utama dan sektor bernilai tambah yang lain.

"Perkongsian strategik ini akan menyumbang terhadap peralihan kita kepada satu ekonomi yang dipacu inovasi dan pengetahuan serta membantu mengukuhkan tulang belakang ekonomi kita," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama pada persidangan "Dasar Pandang Ke Timur-Satu Dimensi Baharu" dan "Persidangan Bersama Majeca-Jameca" ke-31 di sini pada Selasa.

Katanya pengambilalihan kemahiran, pengetahuan dan nilai adalah paksi kepada kejayaan Dasar Pandang ke Timur.

"Jadi, marilah kita gunanya dengan lebih jauh dan melebarkan lagi jaringannya. Saya, secara khususnya, teruja dengan saranan untuk mendapatkan penglibatan lebih banyak PKS," katanya.

Di bawah Program Transformasi Ekonomi, katanya kerajaan memberi tumpuan pada industri yang berkaitan dengan pengurusan alam sekitar hingga kepada penjimatan tenaga dan teknologi hijau yang bergerak ke dalam teknologi tinggi dan industri dipacu pengetahuan.

"Kita telah mengenal pasti prospek pertumbuhan di dalam penjagaan kesihatan, pendidikan dan pelancongan dan ini adalah sesetengah daripada petunjuk keutamaan kita bagi tahun-tahun akan datang."

"Jadi, kita perlu membina satu program Pandang ke Timur yang menangani keperluan tersebut," katanya.

Beliau juga berharap bahawa masa depan program Dasar Pandang ke Timur perlu mempunyai matlamat khusus dan berkait rapat dengan hasil yang khusus.

"Kita perlu memberi tumpuan untuk membina bukan sahaja graduan yang lebih berkemahiran malah graduan yang mahir serta institusi yang lebih kukuh.

"Itu adalah kunci kepada perkongsian berkekalan yang sebenar, yang menggembirakan saya melihat kewujudan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun pada tahun lepas," katanya.

Beliau berkata institut itu akan menyediakan Malaysia peluang untuk mengalami keunikan persekitaran perindustrian hasil kerjasama rapat antara golongan akademik dan perniagaan Jepun.

"Ia akan menggalakkan lebih banyak syarikat Jepun untuk melabur dan saya secara jujurnya berharap ia akan mendorong lebih banyak universiti Jepun mewujudkan kampus cawangan di sini juga," katanya.

Tahun lepas, Najib berkata pelaburan Jepun di dalam pembuatan Malaysia merupakan yang tertinggi sejak 1980, yang mencecah US$3.2 bilion.

Sementara itu, Perdana Menteri Jepun Yoshihiko Noda berkata kerajaan Jepun berhasrat meningkatkan kerjasama menggunakan teknologi canggih Jepun di dalam keadaan khusus di dalam bidang pembangunan infrastruktur.

"Kerjasama itu akan memfokus pada kereta api berkelajuan tinggi, air dan komuniti pintar," katanya di dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Duta Jepun Shigeru Nakamura.

Tambahan pula, katanya Jepun telah mulai mengeluarkan Visa Kemasukan Berbilang bagi tempoh lawatan singkat untuk rakyat Malaysia yang sah selama tiga tahun pada September lepas dan menjangka lebih banyak pertukaran rakyat antara kedua-dua negara.

Katanya Malaysia menekankan pembinaan kapasiti insan berkualiti tinggi dan pelaburan di dalam bidang ekonomi baharu seperti teknologi hijau dan teknologi tinggi di dalam matlamatnya untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 di bawah kepimpinan Najib.

"Saya gembira untuk menyatakan bahawa Jepun bersedia meningkatkan kerjasama konkrit dengan Malaysia untuk menyokong dasar-dasar itu," katanya. BERNAMA

Artikel Lain