suria

Saya Tidak Pernah Guna Dadah - Pelajar Malaysia

YOGYAKARTA: Pelajar Malaysia yang ditangkap polis Indonesia kerana memiliki ganja pada Jumaat lalu, berkata beliau bukan seorang perokok dan tidak pernah menggunakan dadah.

Sebaliknya pelajar jurusan perubatan itu berkata beliau menjadi mangsa godaan tawaran menerusi laman sembang Internet.

Pada hari kejadian, beliau baru lima minit memegang bungkusan kertas surat khabar mengandungi dadah jenis ganja itu dan belum sempat melihat kandungan di dalamnya sebelum ditangkap polis.

"Saya cuma ingin tahu apa itu ganja. Saya bukan seorang perokok dan tidak pernah menggunakan dadah," kata pelajar itu semasa ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Sleman, di sini pada Rabu.

Beberapa pegawai polis yang berada bersamanya pada pertemuan itu juga percaya pelajar lelaki berusia 22 tahun yang sedang menuntut di sebuah universiti di Yogyakarta itu seorang yang baik dan tidak terlibat dengan masalah dadah.

Namun pihak polis terpaksa meneruskan siasatan kes itu kerana pelajar tersebut ditangkap dengan kesalahan memiliki ganja seberat 68.93 gram pada hari kejadian.

Jumlah berat ganja dalam bungkusan kertas surat khabar yang ditemui pada pelajar itu dikatakan cukup untuk dijadikan 50 batang rokok.

Pelajar itu berkata beliau tergoda dengan tawaran jualan ganja di laman sembang popular MIRC dan kerana didorong perasaan ingin tahu, telah cuba membuat pesanan menerusi Internet tanpa memikirkan akibatnya.

Beliau juga tidak tahu dan tidak mengenali siapa pengedar dadah itu.

Selepas membuat bayaran di mesin juruwang automatik (ATM), pelajar itu berkata beliau diminta mengambil satu bungkusan di suatu lokasi di tepi Jalan Kaliurang, Sleman berdasarkan maklumat dalam sistem pesanan ringkas (SMS) yang diterimanya.

Beliau ke tempat kejadian dengan menaiki motosikal dan mengambil bungkusan itu sebelum ditangkap polis tidak berapa lama kemudian.

Mengikut undang-undang Indonesia, pelajar itu boleh ditahan polis sehingga empat bulan untuk siasatan kes itu sebelum didakwa di mahkamah.

Pihak polis berkuasa menahannya selama 20 hari dan tempoh itu boleh dilanjutkan selama 20 hari lagi dengan kelulusan pihak pendakwa raya, dan jika siasatan masih belum selesai, pihak polis boleh memohon di mahkamah untuk melanjutkan tempoh tahanan selama 60 hari lagi.

Pelajar itu berkata beliau mendapat layanan baik sepanjang berada dalam tahanan polis sejak Jumaat lalu serta dibenarkan menunaikan kewajipan bersolat dan dibenarkan membaca.

Beliau turut meminta maaf atas kejadian itu dan berusaha memulihkan semangatnya untuk menerima takdir yang menimpa dirinya. - BERNAMA

Artikel Lain