suria

Sampai Bila Radio RTM Nak Jadi 'Makcik-Makcik'?

Seseorang deejay radio mempunyai peranan besar dalam mempengaruhi masyarakat. Gambar sekadar hiasan.
Seseorang deejay radio mempunyai peranan besar dalam mempengaruhi masyarakat. Gambar sekadar hiasan.
Seseorang deejay radio mempunyai peranan besar dalam mempengaruhi masyarakat. Gambar sekadar hiasan.

Adoiii…

MEDIA penyiaran tidak kiralah sama ada radio ataupun televisyen pada ketika ini mempunyai pengaruh yang kuat dan sebagai penyebar maklumat paling pantas.

Maka, media penyiaran sama juga seperti media cetak yang sentiasa bersaing untuk meraih populariti khususnya dari segi penarafan ataupun rating.

Kalau sesebuah media itu mencatatkan rating yang tinggi, maka kedudukannya juga tinggi kerana ia akan mempengaruhi kepada pendapatan iklan.

Syarikat-syarikat iklan akan memburu media mana yang paling besar pengaruh agar mereka mendapat keuntungan daripada apa yang diiklankan itu.

Ketika kajian pendengar sedang dilakukan oleh agensi penarafan bagi suku kedua tahun ini, stesen radio sedang sibuk menyediakan pelbagai tawaran membabitkan peraduan yang menyediakan wang ringgit kepada pendengar.

Malah deejay-deejay radio juga tidak dibenarkan cuti kerana dikhuatiri akan memberi kesan kepada proses tinjauan yang dibuat.

Pendek kata petugas-petugas stesen radio ini susah nak pejam mata selagi laporan tinjauan itu tidak dikeluarkan. Ia memberi kesan kepada periuk nasi mereka.

Tapi ingat... deejay-deejay itu adalah daripada stesen radio swasta. Stesen radio kerajaan macam RTM saya percaya mereka boleh tidur nyenyak dan berdengkur sampai ke subuh.

Mereka tak hairan pun rating jatuh terduduk ataupun tidak kerana mereka percaya, bekerja macam mana kuat sekali pun, gaji mereka tetap sama kerana ia ditanggung oleh kerajaan.

Tak macam radio swasta, mereka mengharapkan kepada keupayaan sendiri untuk menjana pendapatan.

Sebab itulah walaupun negara sudah 55 tahun merdeka, corak dan pendekatan kebanyakan stesen radio RTM masih tidak berubah, lapuk dan tak “in” dengan keadaan semasa.

Jika pada tahun 1980-an deejay RTM masih lagi membebel di corong radio, pendekatan itu nampaknya kekal sehingga hari ini.

RTM menonjolkan budaya makcik-makcik yang suka membebel. Itulah pendekatan yang tidak berubah.

RTM sepatutnya lebih ke hadapan berbanding stesen radio swasta kerana pengalaman mereka dalam industri penyiaran itu sendiri yang seharusnya dijadikan sandaran bagi meraih keupayaan terhadap persaingan yang sedang dihadapi.

Saya faham terhadap kepentingan stesen penyiaran milik kerajaan yang berfungsi untuk menyebarkan propaganda kerajaan tetapi apa yang dihasratkan tidak akan mencapai sasaran sekiranya individu yang mendengar itu terdiri daripada orang tua-tua.

Seharusnya RTM perlu mencari pendekatan bagaimana ingin meraih populariti di kalangan orang muda agar agenda kerajaan itu sampai kepada golongan berkenaan yang menjadi penentu terhadap perubahan landskap politik negara.

Saya ada mendengar celoteh seorang deejay RTM. Saya berikan contoh cara penyampaiannya.

“Ya sedara, waktu sekarang pukul 11 pagi, terima kasih sedara kerana mendengar xxxxx. Mudah-mudahan anda semua sihat hendaknya. Kepada sedara yang sedang memandu tu, hati-hatilah ya sedara apatah lagi jika hujan lebat, kenderaan sedara mungkin terdedah kepada bahaya...”

Berdasarkan kepada petikan itu kita dapat bayangkan corak penyampaian yang pernah diungkap pada tahun 80-an masih lagi digunakan pada era milenium ini.

Berapa banyak “sedara” daaa...!!! Kalau “sedari” (saudari) yang dengar macam mana pula?

Jadi RTM harus berusaha merekrut deejay-deejay mereka agar sealiran dengan pesaing masing-masing serta bersesuaian dengan tuntutan dunia penyiaran yang semakin maju.

Saya percaya jika teknik penyampaian "makcik-makcik" yang suka membebel itu masih diterapkan, RTM akan terus ke belakang dan gagal meraih matlamat dalam membantu menyampaikan propaganda kerajaan.

Stesen radio RTM juga tidak pernah menjadi juara daripada segi jumlah rating yang dilakukan malah tidak termasuk dalam kajian yang dibuat.

Tapi mungkin RTM sudah selesa jika mereka menjadi juara sebagai stesen radio “makcik-makcik” tapi sampai bila?

Mereka di RTM seharusnya berasa bersalah kerana gaji mereka sebahagiannya adalah berdasarkan peruntukan kerajaan yang diperoleh daripada pembayar-pembayar cukai ataupun rakyat.

Jadi, mereka wajar memberikan sesuatu yang lebih baik kepada keseluruhan rakyat berbanding stesen radio swasta yang meraih pendapatan berdasarkan kepada kerja keras sendiri.

NIEZAM: Sudah boleh dipanggil pakcik...

Artikel Lain