Polis Jejaki Seorang Lelaki Berhubung Kes Tembak Di Jalan Dooraisamy - Semasa | mStar

Polis Jejaki Seorang Lelaki Berhubung Kes Tembak Di Jalan Dooraisamy

KUALA LUMPUR: Polis menjejaki seorang lelaki berhubung satu kes tembak sehingga menyebabkan kematian dua 'bouncer' di sebuah kelab hiburan di Jalan Dooraisamy di sini, 26 Ogos lepas.

J.Tharmarajah, 37, yang beralamat di No 10, Kg Chong Hwa, Batu 4, Jalan Gombak, dikehendaki polis bagi membantu siasatan, demikian menurut laman Facebook Polis Kuala Lumpur Rabu.

Tharmarajah dikatakan tercedera dalam pergaduhan itu dan disyaki mendapatkan rawatan lanjut di hospital negara jiran.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan penama tersebut diminta menghubungi bilik gerakan Jabatan Siasatan Jenayah D9 Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0685 atau mana-mana balai polis berhampiran," menurut laman facebook itu.

Dua 'bouncer' atau pengawal di kelab hiburan itu mati setelah ditembak di depan premis berkenaan, dipercayai dilepaskan seorang daripada sekumpulan lelaki yang dikatakan meradang kerana dihalang memasuki kelab hiburan tersebut.

Dalam insiden kira-kira 4.30 pagi itu, kedua-dua mangsa dikatakan menghalang sekumpulan enam lelaki tempatan memasuki kelab hiburan tersebut kerana waktu operasi telah tamat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain