suria

Pindaan Syarat Pengundi Pos Di Luar Negara Longgar - Liew

KUALA LUMPUR: Syarat mewajibkan warga Malaysia di luar negara pulang sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh lima tahun untuk layak menjadi pengundi pos adalah lebih longgar berbanding negara lain.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata di Singapura misalnya, seorang warganegara yang sudah mendaftar sebagai pemilih perlu berada dalam negara sekurang-kurangnya selama 30 hari dalam tempoh tiga tahun sebelum Januari tahun pilihan raya diadakan.

Di Amerika Syarikat pula, antara syaratnya mereka perlu menjelaskan cukai pendapatan serta mengemas kini alamat mutakhir di luar negara setiap tahun, katanya di Dewan Rakyat, di sini, Selasa.

Liew menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) mengenai cadangan pindaan undang-undang pilihan raya yang bakal dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan rakyat Malaysia di luar negara mengundi sebagai pemilih pos.

Menurut Liew pindaan itu akan dibentang dalam masa terdekat. Liew berkata pada masa ini, hanya pelajar sepenuh masa dan pasangan serta penjawat awam dan pasangan yang berada di luar negara layak menjadi pengundi pos.

Menjawab soalan asal Loke Siew Fook (DAP-Rasah) mengenai jumlah pengundi sah yang telah diwartakan, Liew berkata berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan Suku yang diwartakan pada 16 Ogos 2012, jumlah pemilih terkini bagi kesemua 222 Bahagian Pilihan Raya Parlimen ialah 13,052,374 orang.

Katanya daripada jumlah itu, 12,778,127 pengundi biasa; tentera dan pasangan tentera (161,756); anggota polis termasuk Pasukan Gerakan Am (110,055) dan pengundi tidak hadir di luar negara (2,436). -BERNAMA

Artikel Lain