suria

Penganggur Dipenjara Setahun Curi Beg Silang Berjenama

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dipenjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu selepas mengaku bersalah mencuri sebuah beg silang berjenama dari pusat beli belah Suria KLCC di sini dan gagal menunjukkan kad pengenalan.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman penjara setahun bagi kesalahan mencuri dan dua bulan bagi kesalahan gagal menunjukkan kad pengenalan terhadap Azri Omar, 41, dan memerintahkannya menjalani hukuman itu secara serentak bermula semasa dia ditangkap, Rabu.

Azri didakwa mencuri sebuah beg silang yang berharga RM2,680 milik kedai Ermenegildo Zegna di Ground Floor Lot C Suria KLCC, Jalan Ampang di sini pada 7 petang, Rabu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Azri juga menghadapi pertuduhan gagal menunjukkan kad pengenalan atau sebarang dokumen pengenalan sementara kepada anggota polis untuk pemeriksaan dan didakwa mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda.

Mengikut fakta kes, Azri masuk ke kedai berkenaan dengan membawa beg kertas lalu mengambil sebuah beg silang dan memasukkannya ke dalam beg kertas itu dan terus keluar tanpa membuat pembayaran.

Pekerja kedai itu melihat kejadian itu melalui CCTV lalu terus mengejar Azri dan menahannya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tan Siew Ping manakala tertuduh tidak diwakili peguam. BERNAMA

Artikel Lain