suria

PAS Tolak EGM Bincang Isu Nasha

KUALA LUMPUR: PAS menolak cadangan mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) bagi membincangkan mengenai konflik dalaman yang dicetuskan bekas Timbalan Presidennya, Nasharuddin Mat Isa yang mendakwa parti itu kini lari daripada dasar untuk memperjuangkan Islam.

Menyifatkan tiada keperluan untuk parti itu memanggil sidang muktamar khas berkenaan, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad turut menyangkal dakwaan Nasharudin terhadap parti itu.

"Tak releven untuk kita adakan muktamar. Kita tidak lari daripada landasan untuk memperjuangkan Islam," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai cadangan yang dikemukan Ahli Parlimen Bebas Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin agar PAS mengadakan muktamar khas berhubung isu yang dibangkitkan Nasharuddin.

Sementara itu Ahli Parlimen PAS daripada Baling, Datuk Taib Azamuddin Md Taib turut menolak cadangan berkenaan kerana menyifatkan ahli parti itu memahami situasi yang berlaku.

"Buat masa ini tiada keperluan yang mendesak. Tapi kalau PAS Pusat merasakan ia perlu, bolehlah diadakan.

"Bagi saya akar umbi faham tentang apa yang berlaku. Situasi sekarang mungkin berpunca daripada salah tafsir atau salah lapor," katanya.

Sebelum ini pada 2009 Nasharuddin yang juga Ahli Parlimen Bachok pernah mencetuskan kontroversi dalam PAS ekoran menyokong cadangan pembentukan kerajaan perpaduan Umno-PAS sehingga menimbulkan rasa kurang senang kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Malah Nik Abdul Aziz turut menggesa agar PAS mengadakan EGM untuk membersihkan parti itu daripada kumpulan pro-kerajaan perpaduan.

Nasharudin baru-baru ini menggesa PAS menyatakan pendirian tegas berhubung penghinaan Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam isu hukum hudud yang akhirnya disambut dengan perasaan marah pemimpin parti itu.

Berikutan itu Nasharudin juga menggesa PAS keluar daripada pakatan pembangkang ekoran pendirian DAP dalam isu hudud.

Lebih mencetuskan kontroversi ialah apabila media massa menyiarkan gambar Nasharuddin sedang duduk bersebelahan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam pertemuan dengan tokoh-tokoh ulama sempena Persidangan Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung di Arab Saudi baru-baru ini.

Artikel Lain