suria

KTMB Dan Bomba Gubal Pelan Tindakan Kecemasan

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mewujudkan 'Manual Pelan Tindakan Kecemasan' sebagai panduan kepada pihak berkepentingan termasuk penumpang.

Naib Presiden Eksekutif KTMB Lt Kol Sarbini Tijan berkata manual itu yang mengandungi prosedur menyelamat dan panduan menangani krisis diharap dapat mengurangkan rasa panik penumpang ketika kemalangan kereta api.

"Jika semua pihak tahu tanggungjawab masing-masing, seterusnya membantu pasukan penyelamat melicinkan proses penyelamatan dan pemulihan suatu krisis atau bencana kemalangan yang melibatkan perkhidmatan tren," katanya pada sidang media, di sini, Rabu.

Beliau berkata setiap hari, kira-kira 100,000 penumpang menggunakan perkhidmatan tren KTMB dan mereka harus tahu cara menyelamatkan diri ketika krisis.

Beliau sebelum itu hadir majlis penyerahan manual itu dan Program Latih Amal Ex Taman Wahyu.

Pada majlis itu juga sebanyak 15 stesen KTMB sekitar Lembah Klang dianugerah sijil 'Teman Pili Bomba' sebagai menghargai komitmen dalam mengawal selia pili bomba di stesen masing-masing.BERNAMA

Artikel Lain