suria

Kerjasama Sistem Pendidikan Tidak Abai Sistem Tempatan - Khaled Nordin

KUALA LUMPUR: Usaha mewujudkan kerjasama sistem pendidikan tidak akan mengabaikan keunikan sistem di negara yang terlibat, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata sememangnya setiap negara mahu menjaga kriteria unik sistem pendidikan mereka yang mentakrifkan identiti dan asal-usul masing-masing.

Objektif utama pelan ialah mengharmonikan sistem pengajian tinggi bukan menstandardkan sistem dalam kalangan negara terbabit, katanya pada Forum Asean Campur Tiga mengenai Jaminan Kualiti Pendidikan Tinggi, di sini, Rabu.

"Rancangan itu juga bukan satu cubaan untuk menyeragam dan membentuk sistem pendidikan tinggi yang serupa.

"Saya berpandangan, fokus utama dalam pengharmonian itu ialah bagi membolehkan saling kendali lebih berkesan antara sistem pendidikan dengan disokong semangat kerjasama, kesalingan serta rasa hormat kepada kepelbagaian," katanya ketika melancarkan forum.

Forum dua hari itu dianjur Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan memfokuskan antara lain kepada sistem kelayakan negara dan jaminan kualiti oleh organisasi.

Mohamed Khaled berkata Malaysia mengharapkan kerjasama sedemikian kerana langkah itu dilihat dapat meningkatkan kualiti pendidikan dan membawa manfaat kepada pelajar selain mempertingkat imej pendidikan sesebuah negara dalam jangka masa panjang.

"Sebagai contoh, jika kita ada persefahaman mengenai sistem perpindahan kredit antara universiti tempatan dan antarabangsa, ini akan memudahkan pelajar yang mahu menukar pusat pengajiannya.

"Selain itu, kita juga perlu memastikan kelayakan pendidikan kita diiktiraf di luar negara dan siswazah kita mudah diambil bekerja di negara Asean," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain