suria

Bajet Pakatan Salah Mengikut Perkiraan - Ahmad Husni

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzah (kanan) menunjukkan perbandingan di antara Bajet 2013 Kerajaan Persekutuan dengan Bajet Pakatan Rakyat, manakala Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah (kiri) menunjukkan buku Bajet 2013 pada sidang akhbar yang diadakan di Kementerian Kewangan di Putrajaya. -fotoBERNAMA
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzah (kanan) menunjukkan perbandingan di antara Bajet 2013 Kerajaan Persekutuan dengan Bajet Pakatan Rakyat, manakala Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah (kiri) menunjukkan buku Bajet 2013 pada sidang akhbar yang diadakan di Kementerian Kewangan di Putrajaya. -fotoBERNAMA
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzah (kanan) menunjukkan perbandingan di antara Bajet 2013 Kerajaan Persekutuan dengan Bajet Pakatan Rakyat, manakala Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah (kiri) menunjukkan buku Bajet 2013 pada sidang akhbar yang diadakan di Kementerian Kewangan di Putrajaya. -fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: "Mengikut perkiraan" bajet bayangan 2013 Pakatan Rakyat mengelirukan, dan pasti akan menambah defisit fiskal dan hutang Malaysia berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK) masing-masing kepada 7.2 peratus dan 57.8 peratus, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata dakwaan oleh Pembangkang bahawa bajet cadangannya akan mengurangkan defisit fiskal kepada 3.5 peratus merupakan satu contoh "lemah matematik" yang baik.

"Perbendaharaan meneliti kedua-dua bajet. Kami dapati bajet kerajaan menyeluruh dan jelas.

"Dengan demikian, kami berpendapat kerajaan tidak harus menunggu lebih lama lagi untuk tampil ke hadapan dan menjelaskan kepada rakyat Malaysia, yang manakah bajet yang serius dan bertanggungjawab.

"Bajet mereka (Pakatan) tidak lengkap. Mereka tidak memasukkan kebanyakan daripada perbelanjaan kendalian dalam bajet mereka. Itulah sebabnya Pakatan boleh mencatatkan perbelanjaan mengurus yang lebih rendah," katanya kepada pemberita.

Ahmad Husni berkata bajet cadangan Pakatan itu akan memaksa kerajaan menanggung perbelanjaan mengurus sebanyak RM224.3 bilion, jauh lebih tinggi daripada RM185.3 bilion yang didakwa oleh Pembangkang.

Beliau berkata bajet bayangan itu tidak mencerminkan kedudukan sebenar prestasi kewangan kerajaan dan juga tidak mengambil kira rancangan-rancangan yang diumumkan oleh Pembangkang dalam bajet khusus mereka itu.

Bajet cadangan Pakatan yang menunjukkan pengurangan emolumen penjawat awam sebanyak RM2.6 bilion kepada RM56 bilion juga bererti pengurangan sebanyak 72,000 pekerjaan berdasarkan andaian gaji purata RM3,000 sebulan atau RM36,000 setahun, katanya.

"Antara rancangan-rancangan yang tidak diambil kira dalam membuat perkiraan defisit negara itu ialah cadangan pelarasan gaji minimum, pemberian bonus tahunan bagi warga emas, penghapusan tol, dan hutang yang akan ditanggung oleh kerajaan berikutan penghapusan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara)," tegasnya.

Ahmad Husni berkata jika cadangan pelarasan gaji minimum itu dilaksanakan, kerajaan akan memerlukan peruntukan tambahan sebanyak RM4.4 bilion manakala penghapusan tol akan menyebabkan kerajaan menanggung kos tambahan sebanyak RM6 bilion melalui subsidi yang lebih tinggi.

"Mereka bercakap tentang pengurangan subsidi dan mendapatkan pendapatan daripada situ. Tetapi rancangan yang mereka umum tidak akan mengurangkan subsidi yang ditanggung oleh kerajaan, sebaliknya meningkatkannya dengan ketara.

"Rancangan mereka untuk mengurangkan subsidi juga tidak berdaya maju kerana ini bererti harga barangan keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak dan petrol terpaksa naik kerana barangan itu merupakan kira-kira 61 peratus daripada mekanisma subsidi sekarang," ujar beliau.

Mengenai PTPTN, Ahmad Husni berkata jika ia dimansuhkan, kerajaan perlu menanggung hutang PTPTN sekarang yang berjumlah RM31 bilion dan pada masa yang sama menyediakan dana sebanyak RM5 bilion untuk diagihkan kepada pelajar-pelajar baharu institusi pendidikan tinggi.

Bajet Pakatan akan juga memaksa nisbah hutang berbanding KDNK melonjak kepada 57.8 peratus, jauh lebih tinggi daripada had maksimum yang ditetapkan oleh kerajaan, iaitu pada 55 peratus.

"Jika nisbah hutang berbanding KDNK meningkat begitu, penarafan kerajaan Malaysia akan jatuh ke paras lebih rendah dan ini akan mengakibatkan kos pinjaman menjadi lebih tinggi manakala tahap keyakinan di kalangan pelabur asing akan menurun," katanya.

Ahmad Husni juga berkata jika rancangan Pembangkang menaikkan royalti negeri kepada 20 peratus dimasukkan dalam pengiraan defisit fiskal, ada harapan ia melonjak naik hingga ke lapan peratus.

"Jika itu diambil kira, ia akan menyebabkan penyusutan perolehan daripada cukai petroleum serta dividen kepada kerajaan Persekutuan. Dengan demikian, defisit akan meningkat selanjutnya.

"Itu juga akan mengakibatkan penyusutan perolehan syarikat petroleum nasional, Petronas Bhd. Untuk itu, saya jangka Petronas akan mengeluarkan kenyataan yang menjelaskan cara-cara untuk berhadapan dengan rancangan Pakatan ini.

"Pendek kata, jika kesemua rancangan oleh Pakatan ini dilaksanakan tanpa pengurusan fiskal yang betul dan lebihan pendapatan yang mantap, Malaysia mungkin menjadi muflis," tegas Ahmad Husni. - BERNAMA

Artikel Lain