suria

Umat Islam Digesa Tangani Isu Yang Dihadapi Secara Intelektual

KUALA LUMPUR: Umat Islam perlu bersedia secara intelektual bagi menangani isu-isu yang dihadapi mereka, kata Anggota Majlis Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.

Beliau menjelaskan bahawa dunia Islam kini berdepan masalah seperti kemiskinan, buta huruf, keselamatan makanan, ketidakstabilan politik dengan negara-negara yang bergolak, dan juga pemindahan manusia di tempat-tempat seperti Palestin, Syria dan Myanmar.

Abdul Aziz, yang juga Pengerusi Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) juga merujuk kepada percubaan-percubaan terbaru bagi mengecam Islam atas nama kebebasan.

"Isu-isu kontemporari ini perlu dicabar secara intelektual, secara lebih berhemah, tanpa menimbulkan kekecohan dan kemarahan yang tidak membawa ke manapun," katanya pada majlis Konvokesyen UIAM ke-28 di kampus universiti itu di Gombak, di sini. "Ini merupakan landskap baru yang perlu kita tangani. Saya menyeru kepada suatu kandungan yang lebih inovatif, kritikal dan relevan yang terbenam dalam teras korpus pengetahuan kita," katanya.

Abdul Aziz berkata walaupun dianugerahkan dengan kekayaan minyak dan gas yang boleh didapati di hampir kesemua negara umat Islam, mereka kekal terpinggir.

Beliau menjelaskan 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dengan 20 peratus daripada penduduk dunia hanya mengeluarkan tujuh peratus daripada output global.

"Pada masa sama, jutaan daripada mereka menderita akibat kurang zat makanan dan berpendapatan kurang daripada US$1 sehari," katanya sambil mengesyorkan mungkin wakaf korporat yang diperkenalkan di Malaysia ditukar kepada wakaf berdaulat bagi membantu umat yang miskin. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

481,424 Calon Duduki PMR Esok

Artikel Lain