suria

Polis Tahan Enam Anggota 'Geng Ragu', Selesai 21 Kes Rompak Bersenjata

TAIPING: Polis Perak berjaya menyelesaikan 21 kes rompak berkumpulan bersenjatakan parang di beberapa daerah negeri itu dengan penangkapan enam lelaki yang merupakan anggota "Geng Ragu" kelmarin.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahalan berkata mereka ditangkap dalam dua serbuan yang dilakukan pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping.

Dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Survey Line, Jalan Panglima di sini, polis memberkas empat suspek dan dua jam kemudian dua lagi rakan mereka ditangkap di Kamunting dan Taiping, katanya pada sidang media, di sini, Selasa.

Beliau berkata hasil penangkapan itu, polis merampas enam motosikal termasuk dua yang dicuri lapan jam sebelum mereka diberkas.

Katanya kejayaan polis itu adalah hasil maklumat awam yang melihat suspek memasuki sebuah rumah di Aulong di sini pada pukul 10.30 malam dan bertindak kasar termasuk menendang mangsa sebelum melarikan barangan berharga dan motosikal mangsa.

Selang dua jam kemudian, suspek merompak seorang guru berusia 47 tahun di Jalan Pekan Kamunting dan melarikan sebuah motosikal jenis Suzuki Axelo berwarna biru serta barangan lain.

Shukri berkata semua suspek berumur antara 20 dan 28 tahun itu yang berasal dari negeri ini aktif melakukan rompak berkumpulan sejak dua tahun lepas di daerah Manjung, Kerian dan Pulau Pinang.

"Selain melakukan rompak bersenjatakan parang, suspek juga melakukan beberapa kes kekerasan antaranya samun, curi motosikal dan kes curi kabel di sekitar daerah Taiping," katanya.

Hasil siasatan mendapati ketua kumpulan itu mempunyai 11 kes jenayah lampau, empat kes masih belum selesai termasuk satu kes samun di Bukit Mertajam, Pulau Pinang selain pernah menjalani hukuman penjara di Penjara Machang, Kelantan selama dua tahun, katanya.

Beliau berkata polis kini memburu dua lagi anggota kumpulan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

481,424 Calon Duduki PMR Esok

Artikel Lain