suria

Peniaga Hadapi Risiko Dipenjara, Denda Kerana Naikkan Harga Minuman Teh

KUCHING: Seorang peniaga di sini berhadapan dengan kemungkinan dipenjara tiga tahun dan denda RM100,000 jika beliau gagal memberi alasan munasabah kerana menaikkan harga minuman di restorennya.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Sarawak, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, hari ini berkata pemilik restoren berkenaan sudahpun diberikan notis tunjuk sebab berhubung tindakan menaikkan harga secawan teh sebanyak 10 sen.

"Kalau kerana (harga) gula (naik 20 sen sekilogram berikutan pengurangan subsidi) sahaja, kita akan ambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 (yang memperuntukkan hukuman penjara dan denda itu)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pelancaran Program Menu Rakyat 1Malaysia oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Karim di sini, Selasa.

Menurutnya sepasukan pegawai penguatkuasa kementerian itu telah pergi ke premis peniaga itu di Kenyalang Park di sini pagi tadi setelah menerima satu aduan dari seorang pengguna yang mengunjungi restoren berkenaan.

Wan Ahmad Uzir berkata peniaga berkenaan diberi tempoh 14 hari untuk mengemukakan secara bertulis alasannya menaikkan harga minuman yang dijualnya itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

481,424 Calon Duduki PMR Esok

Artikel Lain