suria

Lebih 60 Orang Ditipu Syarikat Rakaman & Permodelan

GEORGE TOWN: Lebih 60 orang menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat rakaman dan permodelan di negeri ini, melibatkan kerugian ratusan ribu ringgit, kata Timbalan Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Pulau Pinang Lim Thoon Deong.

Beliau berkata syarikat itu dipercayai memperdaya orang ramai menerusi penganjuran pertandingan 'Idol Search' serta 'Cover Guy & Girls' dan setakat ini, pihaknya menerima aduan daripada empat mangsa. "Peserta diminta membayar RM50 untuk menyertai pertandingan yang diadakan pada pertama kali di sebuah hotel di sini pada 20 Mei lepas, dan meminta tambahan sebanyak RM60 pada pertandingan siri kedua," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang pada Selasa.

Difahamkan, syarikat itu berasal dari Singapura dan mendaftar di negeri ini menggunakan nama 9media, dengan alamat terakhir di Bandar Baru, Ayer Itam.

Lim berkata bagaimanapun mangsa hanya sedar diri ditipu apabila pertandingan siri kedua yang dijadual berlangsung pada 26 Ogos dibatalkan dan penganjurnya gagal dihubungi.

Beliau berkata dalam tempoh Mei hingga Ogos tahun ini, syarikat itu turut membuat tawaran merakam album dan menyertai sesi fotografi di luar negara kepada peserta, dan mereka diminta membayar RM260 hingga RM7,200 untuk tujuan itu.

Katanya, beberapa peserta turut dilantik menjadi krew acara pertandingan itu, namun mereka mendakwa hanya menerima bayaran pada bulan pertama sepanjang tempoh tiga bulan bekerja.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial negeri ACP Roslee Chik ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kes tersebut.

"Polis meminta lebih ramai mangsa tampil membuat laporan bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun serta sebatan, dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

481,424 Calon Duduki PMR Esok

Artikel Lain