suria

Kerajaan Digesa Kaji Punca Ramai Remaja Sakit Mental

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa segera mengenal pasti punca dan mencari langkah menangani peningkatan jumlah pesakit mental di negara ini, termasuk kanak-kanak dan remaja, yang berada pada tahap membimbangkan.

Datuk Ismail Kasim (BN-Arau) berkata peningkatan angka itu saban tahun menunjukkan isu tersebut perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan. "Kajian menyeluruh perlu dibuat untuk mengenal pasti faktor yang menyebabkan peningkatan pesakit mental di negara ini saban tahun.

"Kita sebagai ibu bapa mungkin tidak dapat kesan kedudukan anak kita dan tidak tahu mereka dalam keadaan yang memerlukan rawatan," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai baru-baru ini mendedahkan statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan, yang mendapati kelaziman masalah kesihatan mental golongan kanak-kanak dan remaja meningkat daripada 13 peratus pada 1996 kepada 20 peratus tahun lepas. Liow berkata pengaruh Internet dan teknologi komunikasi selain faktor kesibukan ibu bapa dijangka terus membawa kepada peningkatan peratusan itu, yang dijangka terus meningkat dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Ismail berkata pendedahan lebih meluas perlu dibuat bagi memberi pengetahuan terutama kepada ibu bapa dan penjaga supaya dapat mengesan kemungkinan penyakit mental di kalangan kanak-kanak serta remaja lebih awal.

"Kita tidak mahu apabila negara maju, perkara seperti ini kita tinggalkan dan menjadi perkara terpencil sedangkan ia merupakan perkara yang serius," katanya.

Beliau turut menekankan keperluan mewujudkan Jabatan Psikiatri di setiap daerah dan penambahan pakar kesihatan mental.

"Apa yang lebih penting, di peringkat awal isu perlu diberi penekanan dan Kementerian Kesihatan harus membuat kempen yang sesuai dalam menangani masalah tekanan ini sebelum ia sampai ke peringkat teruk," katanya.

Kebimbangan serupa turut dibangkitkan Datuk Ismail Abdul Muttalib, yang menyifatkan isu itu amat serius kerana membabitkan kanak-kanak dan remaja, yang merupakan barisan pelapis negara.

"Saya mohon kerajaan memberi perhatian segera pada isu ini kerana anak-anak kecil dan remaja ini bila mental mereka terganggu, sudah tentu masa depan negara bangsa kita juga akan terjejas," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

481,424 Calon Duduki PMR Esok

Artikel Lain