suria

Kelulusan Lesen Pengilang Gula Kepada Adamuda Ikut Prosedur Biasa - Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR: Kelulusan Lesen Pengilang kepada Adamuda Sdn Bhd untuk memproses gula di Sarawak adalah sama dengan proses yang dilalui pengilang lain, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata seperti syarikat pengilang gula lain, kelulusan lesen kepada Adamuda Sdn Bhd juga melalui permohonan dan tidak dikenakan sebarang bayaran. "Pemohon perlu melengkapkan borang permohonan beserta dokumen sokongan yang diperlukan untuk pertimbangan jawatankuasa pelaburan peringkat nasional untuk kelulusan berdasarkan kepada dasar semasa," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Teo Nie Ching (DAP-Serdang) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Teo ingin tahu mengapa Admuda Sdn Bhd diberi lesen tunggal untuk memproses gula di Sarawak dan Sabah, dan sama ada lesen itu diberi melalui tender terbuka atau sebaliknya.

Mustapa berkata bagi menjamin bekalan gula di Sabah dan Sarawak mencukupi serta mengatasi masalah gula bertapis, kerajaan pada 23 Disember 2009 membenarkan kedua-dua negeri memiliki sebuah syarikat memproses gula masing-masing.

"Selaras dengan keputusan kerajaan itu, dua syarikat iaitu Gula Sabah Sdn Bhd telah diluluskan Lesen Pengilang untuk memproses gula di Sabah dan Adamuda Sdn Bhd di Sarawak," katanya sambil menambah sehingga kini, syarikat terbabit belum memulakan operasi. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

481,424 Calon Duduki PMR Esok

Artikel Lain