suria

Dua Pegawai Kastam Dihukum Gantung Kerana Edar Dadah

ALOR SETAR: Dua pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dihukum gantung sampai mati setelah didapati bersalah atas tuduhan mengedar dadah tahun lalu oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar di sini, Selasa.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu terhadap Ismail Mansor, 43, dan Nazni Seman, 48, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Kedua-dua tertuduh yang berkhidmat dengan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Kuala Perlis, Perlis, didakwa secara bersama mengedar dadah jenis kanabis seberat 6,705 gram di kawasan tapak parkir lori kilang simen, Bukit Keteri, Padang Besar, Perlis pada pukul 9.30 malam, 27 April 2011.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mokhtar, manakala kedua-dua tertuduh diwakili Y.Anbananthan.

Semasa penghakiman, Mohd Zaki berkata keterangan pembelaan telah gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan kenyataan kedua-dua tertuduh hanya diada-adakan bagi melepaskan diri.

Sementara itu, Anbananthan ketika rayuan memaklumkan bahawa Nazni dan Ismail, masing-masing telah bertugas selama 17 dan 14 tahun dengan KDRM. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

481,424 Calon Duduki PMR Esok

Artikel Lain