Cubaan Seludup 4,500 Karton Rokok Keretek Gagal - Semasa | mStar

Cubaan Seludup 4,500 Karton Rokok Keretek Gagal

PELABUHAN KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Klang menggagalkan cubaan menyeludup 4,500 karton rokok kretek pelbagai jenis di perairan Tanjung Tumbuk dekat sini dalam operasi yang dijalankan pada Isnin.

Ketua Penguatkuasa Maritim Klang Kapten Christopher Ravindran Dass berkata anggota APMM terserempak sebuah bot pacung, dipercayai dari negara jiran, yang dilihat mencurigakan pada 9 malam.

Beliau berkata sebaik anggota APPM menghampiri bot itu di kedudukan 1.5 batu nautika dari Pantai Tanjung Tumbuk, ia memecut laju ke arah pesisir pantai. "Seorang lelaki yang memandu bot berkenaan kemudian bertindak terjun ke laut serta melarikan diri ke kawasan hutan bakau berhampiran," katanya pada sidang akhbar pada Selasa.

Ravindran berkata pemeriksaan lanjut mendapati bot sepanjang 18 meter, yang menggunakan tiga enjin sangkut tanpa pendaftaran itu, membawa muatan pelbagai rokok kretek yang dibungkus dalam 75 guni. Jumlah keseluruhan barangan rampasan, termasuk cukai dan bot, ialah RM343,594, katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 bagi kesalahan membawa masuk barang tanpa kelulusan Kastam. Ravindran berkata APPM Klang akan memantau lima kawasan 'panas' yang dikenal pasti sebagai laluan dan lokasi aktiviti penyeludupan membabitkan rokok kretek di perairan Klang. "Ini merupakan rampasan kedua dan terbesar bagi tahun ini di wilayah Klang, dan operasi membanteras kegiatan ini dijalankan hampir setiap hari," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Calon PMR Maut Dalam Perjalanan Ke Sekolah

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain