suria

Cadangan Syarat Pengundi Luar Negara Masih Longgar

KUALA LUMPUR: Cadangan syarat agar rakyat negara ini pulang ke Malaysia sekali dalam tempoh lima tahun bagi melayakkan mereka menjadi pengundi masih longgar jika dibandingkan dengan negara-negara lain.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk VK Liew berkata, semua pihak perlu melihat cadangan itu dari sudut positif terutamanya dengan membandingkan syarat ketat yang diamalkan beberapa negara lain terhadap rakyatnya.

"Sebagai contoh di Singapura, seseorang warganegara yang mendaftar sebagai pemilih perlu berada di Singapura sekurang-kurangnya 30 hari dalam tempoh tiga tahun sebelum bulan Januari tahun pilihan raya.

"Syarat ini sangat ketat, mereka kena berada dalam negara mereka untuk melayakkan menjadi pengundi," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Selain itu katanya, Amerika Syarikat (AS) juga mengenakan syarat ketat termasuk perlu menjelaskan cukai pendapatan kepada warganya bagi membolehkan rakyat negara itu yang berada di luar negara menjadi pengundi.

Jelas Liew yang juga Ahli Parlimen Sandakan, Australia juga membenarkan rakyatnya yang berada di luar negara untuk menjadi pengundi namun mengenakan syarat agar mereka tidak meninggalkan negara melebihi tempoh tiga tahun.

"Manakala bagi Thailand, seseorang warganegara Thailand mestilah tinggal di sesuatu kawasan pilihan raya selama sekurang-kurangnya tiga bulan.

"Mereka perlu mendaftar sebagai pengundi luar negara sebelum suatu tarikh tutup yang ditetapkan," katanya.

Bagaimanapun Liew berkata syarat yang dikemukakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu masih diperingkat perbincangan sebelum dimuktamadkan.

"Itu cadangan sahaja, sama akan diterima atau tidak, kita akan pertimbangkan.

"Perlu lihat juga sama ada kita kena pinda Perlembangaan atau peraturan pilihan raya sahaja untuk menjadikan mereka sebagai pengundi pos," katanya.

Pada Isnin, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara mungkin dibenarkan mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang kerana pindaan bagi peraturan pilihan raya akan dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini.

Pada ketika ini, hanya pelajar Malaysia yang menuntut sepenuh masa dan pasangan mereka, dan kakitangan awam serta pasangan mereka sahaja layak mengundi secara pos.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

481,424 Calon Duduki PMR Esok

Artikel Lain