suria

Tiga Ditahan Miliki 198 Gram Heroin

ALOR GAJAH: Dua lelaki dan seorang wanita ditahan bersama 198 gram dadah jenis heroin bernilai RM5,500 dalam Operasi Tapis di sebuah rumah di Taboh Naning di sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata dalam serbuan pada 2.45 petang itu, polis menjumpai 10 paket plastik kecil dadah berkenaan dengan anggaran berat kasar 19 gram di dalam poket seluar yang terletak di atas meja makan rumah tersebut.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan 100 lagi paket plastik kecil dadah dengan anggaran berat kasar 179 gram dalam sebuah bekas plastik yang disorok di belakang rumah berkenaan.

"Siasatan awal polis mendapati ketiga-tiga mereka yang berumur 19, 39 dan 40 tahun dari Negeri Sembilan itu mempunyai hubungan kekeluargaan dan dipercayai bergerak aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sekitar daerah ini sejak lima bulan lepas," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di sini, Isnin.

Katanya salah seorang lelaki yang bekerja sebagai buruh kasar berumur 39 tahun turut positif dadah selain mempunyai rekod jenayah lampau kerana merusuh pada 1996.

Kesemua mereka kini ditahan reman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan. -BERNAMA

Artikel Lain