suria

Siasatan Kes Rompakan Cip Mikro Selesai Tidak Lama Lagi - Polis

BUTTEROWRTH: Polis Pulau Pinang percaya dapat menyelesaikan dalam tempoh terdekat kes rompakan cip mikro unit pemprosesan komputer (CPU) bernilai RM11.5 juta di sebuah kilang di kawasan Perusahaan Perai Bukit Tengah di sini, awal pagi Ahad. Timbalan Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata polis sedang mengesan beberapa lagi anggota kumpulan rompakan itu bagi melengkapkan siasatan kes.

"Semalam kita telah tahan 14 orang termasuk dalang utama kumpulan berkenaan dan menemui semula 90 peratus cip mikro yang dilaporkan hilang itu," katanya.

Semua lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun itu direman sehingga 13 Oktober ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Kini polis sedang mencari beberapa lagi anggota kumpulan terbabit yang dipercayai masih bersembunyi di sekitar negeri ini," katanya kepada pemberita selepas Program "High Policing Police" di kawasan Seberang Jaya di sini, Isnin.

Program itu dirasmikan oleh Timbalan Pengarah I (Operasi dan Risikan) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Datuk Haris Wong Abdullah.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya Datuk Arif Shah Omar Shah.

Abdul Rahim berkata pihaknya telah berjaya menyelesaikan 95 peratus siasatan kes rompakan berkenaan dalam tempoh tidak sampai 24 jam dan ia merupakan satu kejayaan besar kepada kontinjen Pulau Pinang tahun ini.

Semalam lapan lelaki bersenjatakan pedang samurai melarikan sejumlah cip mikro unit pemprosesan komputer (CPU) bernilai RM11.5 juta dalam satu rompakan di sebuah kilang di kawasan Perusahaan Perai Bukit Tengah.

Kumpulan perompak itu memecah masuk gudang kilang berkenaan melalui pagar belakang kira-kira pukul 2.30 pagi. -BERNAMA

Artikel Lain