suria

PPM Tawau Gagalkan Cubaan Seludup Keluar 100 Tong Gas

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar 100 tong gas ke negara jiran menggunakan bot panjang di sini pagi Isnin.

Pemangku Pegawai Pemerintah PPM Tawau, ASP Krishnan a/l Ramasami berkata tong gas itu seberat 14kg setiap satu dirampas dari bot berkenaan dalam Ops Paradise di Pantai Sabindo pada jam 8.20 pagi.

"Anggota PPM memeriksa sebuah bot jongkong (bot panjang) yang dalam perjalanan dari pantai Batu-Batu, Sabindo ke Sungai Melayu, Pulau Sebatik.

"Hasil pemeriksaan, anggota PPM menemui 100 tong gas. Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan dua unit injin sangkut ialah RM31,000," katanya dalam satu kenyataan di sini, Isnin.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati juragan bot itu tidak mempunyai kebenaran untuk membawa tong gas berkenaan keluar dari Tawau.

Juragan tempatan berumur 31 tahun itu ditahan untuk membantu siasatan. -BERNAMA

Artikel Lain