suria

Polis Rampas Dadah Bernilai RM870,000 Di Kajang

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan serta merampas dadah bernilai RM870,000 dalam dua operasi berasingan di Kajang dan ibu kota pada Ahad lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata dalam kes pertama, polis menahan sepasang suami isteri berumur 30 dan 38 tahun serta merampas 12,524 gram dadah jenis heroin dan 996 gram syabu semasa memeriksa sebuah rumah di Jalan Sunway, Bandar Sunway, Semenyih pada 12.30 tengah malam Ahad lepas.

"Saringan awal urin ke atas kedua-dua suspek didapati negatif," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kuala Lumpur pada Isnin.

Dalam kes kedua, Mohmad berkata dua lelaki berumur 41 dan 48 ditahan selepas polis menemui 2068.84 gram dadah jenis syabu di sebuah hotel bertaraf lima bintang di kawasan Jalan Sultan Ismail pada 8 malam "Saringan awal urin ke atas kedua-dua suspek, salah seorang lelaki itu positif methamphetamine manakala seorang negatif," katanya sambil menambah mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga 13 Oktober.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. -BERNAMA

Artikel Lain