suria

Polis Luaskan Program Cegah Jenayah Ke Kampung

ALOR SETAR: Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar akan mengadakan program membabitkan masyarakat dalam usaha mencegah jenayah di Kampung Belukar, Telaga Mas dekat sini pada 20 Okt ini.

Ketua Polis Daerah, ACP Adzaman Mohd Jan berkata program sehari itu diharap dapat mendedahkan orang ramai di kampung tentang peranan polis dalam kerja pencegahan termasuklah terhadap jenayah jalanan.

"Setiap tahun kita adakan program ini di kawasan bandar tetapi kita tahu di kampung-kampung juga berlaku jenayah walaupun statistiknya tidaklah terlalu tinggi.

"Jika diberi pendedahan yang sempurna mungkin kita akan dapat mengurangkan jumlah kejadian jenayah di kampung, kerana itulah tahun ini kita ubah mengadakan program ini di kawasan kampung," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Adzaman berkata banyak aktiviti dirancang sepanjang program itu seperti pameran kesedaran yang turut melibatkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Majlis Bandaraya Alor Setar.

Beliau berkata selain pameran, aktiviti lain juga diadakan seperti acara sukan bola baling, tarik tali, bola tampar, panjat tiang licin dan melepaskan ikan keli dan itik yang semuanya diadakan dalam sawah.

"Saya berharap orang ramai terutamanya dari kampung berhampiran datang beramai-ramai memeriahkan lagi program ini selain dapat menimba ilmu pengetahuan," katanya.

Beliau berkata pihaknya mendapatkan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Kedah serta Pejabat Pelancongan negeri menjayakan program tersebut. BERNAMA

Artikel Lain